syazrina@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Lembaga Tabung Haji (TH) memaklumkan pelan pemulihan dan penstrukturan semula yang dilaksanakan pada 2018 adalah langkah penyelamatan kewangan (bailout) yang perlu bagi mengelakkan institusi itu daripada berdepan insolvensi, di samping melindungi simpanan pendeposit dan memastikan kemampanan kewangan institusi berkenaan.
TH dalam kenyataan pada hari ini berkata, pelan berkenaan dilaksanakan susulan kedudukan defisit kewangan yang memerlukan tindakan segera daripada kerajaan pada ketika itu bagi menyelamatkan TH.
Menurutnya, pihak berautoriti seperti Bank Negara Malaysia (BNM) sejak 2014 sudah membangkitkan kebimbangan terhadap kesan amalan pembayaran Agihan Keuntungan tinggi yang menyebabkan rizab sedia ada rendah menjadi negatif.
TH berkata, keadaan itu boleh mendedahkan institusi berkenaan kepada risiko pengeluaran deposit secara besar-besaran oleh pendeposit.
“Ketua Audit Negara dalam Penyata Kewangan TH berakhir 2017 turut membuat Penegasan Perkara (Emphasis of Matter) menegur amalan perakaunan yang tidak konsisten dan tidak memberi gambaran kewangan sebenar.
“Jurang antara aset dan liabiliti yang dikenal pasti pada akhir 2017 terus meningkat melebihi RM10 bilion pada akhir 2018,” katanya dalam kenyataan.
TH berkata, sekiranya isu berkenaan tidak ditangani sebelum akhir 2018, institusi itu tidak dapat memenuhi syarat di bawah Akta Tabung Haji untuk mengisytiharkan sebarang Agihan Keuntungan.
Menurutnya, kegagalan mengisytiharkan Agihan Keuntungan juga boleh mencetuskan krisis pasaran kewangan apabila TH terpaksa menjual aset pada harga terdesak bagi memenuhi permohonan pengeluaran tunai besar dan tidak terkawal oleh pendeposit.
TH berkata, kerajaan dan TH ketika itu berdepan empat pilihan untuk melaksanakan Pelan Pemulihan dan Penstrukturan TH dalam tempoh singkat sebelum akhir 2018.
“Pilihan yang dibuat adalah penjualan aset kurang berdaya saing dan bermasalah pada nilai premium kepada kerajaan bagi menutup jurang antara aset dan liabiliti supaya TH kekal berupaya (solven),” katanya.
“Syarikat Tujuan Khas (SPV) milik penuh kerajaan, Urusharta Jamaah Sdn Bhd (UJSB), membeli aset bernilai RM9.7 bilion pada jumlah RM19.9 bilion bagi menutup defisit yang dihadapi dan membolehkan Agihan Keuntungan diisytihar pada tahun 2018,” katanya.
Dalam pada itu, TH berkata, pihaknya turut diberikan Hak Keutamaan untuk Menolak (Right of First Refusal) terhadap aset yang dipindahkan sekiranya UJSB bercadang menjual aset berkenaan pada masa hadapan.
Menurutnya, hak itu tidak meletakkan kewajipan kepada TH untuk membeli semula aset berkenaan, sebaliknya hanya memberi keutamaan sekiranya aset itu sesuai dengan kriteria pelaburan TH.
Katanya, selepas meneliti aset yang ditawarkan semula oleh UJSB, TH pada tahun ini membeli tanah di TRX pada harga pasaran semasa RM270 juta berbanding harga asal penjualan RM400 juta serta ladang kelapa sawit UJ Estates (Holdings) Sdn Bhd pada harga RM695 juta berbanding harga asal RM800 juta.
“Tindakan pemulihan yang diambil pada 2018 berjaya menangani kerugian pelaburan berjumlah RM12.6 bilion iaitu RM10 bilion melalui pelan pemulihan 2018 dan RM2.6 bilion secara berperingkat sehingga hujung 2025.
“Kadar Agihan Keuntungan diisytihar TH bertambah baik dan stabil dengan pulangan meningkat daripada 1.25 peratus bagi 2018 kepada 3.25 peratus bagi 2024 dan 3.50 peratus pada 2025.
“Kami kekal komited untuk melindungi pendeposit, kukuhkan kepercayaan awam dan memastikan institusi ini beroperasi dengan penuh integriti dan bertanggungjawab,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




