Kuala Lumpur : Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim menzahirkan ucapan Selamat Hari Pahlawan kepada seluruh warga Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Seri Paduka Baginda turut merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada seluruh warga pasukan keselamatan yang berkorban demi mempertahankan kedaulatan, keamanan dan kesejahteraan negara.
“Selamat Hari Pahlawan, jasa dan pengorbanan anda semua akan sentiasa terpahat dalam kenangan. Semoga Allah Subhanahu Wa Ta’ala sentiasa melindungi seluruh warga pasukan keselamatan dalam setiap tugas yang dilaksanakan,” titah Seri Paduka Baginda menerusi hantaran di Facebook Sultan Ibrahim Sultan Iskandar, hari ini.
Terdahulu, Istana Negara memaklumkan Seri Paduka Baginda akan menjalani rawatan susulan kerana kesakitan membabitkan otot dan tulang di bahagian belakang serta pinggul atau ‘musculoskeletal.’
Seri Paduka Baginda juga dinasihatkan pakar perubatan supaya berehat sebelum menjalani rawatan susulan bagi memberi ruang kepada proses pemulihan.
“Sehubungan itu, Sultan Ibrahim tidak berangkat ke Istiadat Perbarisan Sambutan Hari Pahlawan yang berlangsung di Dataran Pahlawan Negara, Putrajaya hari ini,” menurut kenyataan itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd




