TEHERAN: Media kerajaan Iran pada Jumaat melaporkan jenazah lima anggota Kor Pengawal Revolusi Islam Iran (IRGC) yang terbunuh dalam serangan bersama Amerika Syarikat (AS) dan Arab Saudi di Iraq minggu ini sudah dibawa pulang ke negara itu.
AS dan Arab Saudi pada Rabu memaklumkan mereka melancarkan serangan ke atas kumpulan bersenjata yang disokong Iran di Iraq sebagai tindak balas terhadap siri serangan terbaharu ke atas kerajaan Teluk itu.
Serangan itu menyasarkan kedudukan Hashed al-Shaabi, iaitu gabungan kumpulan bersenjata Iraq yang merangkumi beberapa kumpulan pro-Iran yang berpengaruh, mengorbankan sekurang-kurangnya 20 anggota kumpulan itu termasuk lima rakyat Iran.
“Jenazah lima anggota IRGC yang terbunuh dalam serangan terbaharu AS-Arab Saudi di Iraq dibawa masuk ke negara ini melalui pintu sempadan Mehran, di wilayah Ilam di barat Iran,” lapor agensi berita rasmi IRNA.
Pasukan Quds di bawah IRGC bertanggungjawab menyelia operasi Iran di luar negara dan anggota IRGC yang terbunuh di luar Iran lazimnya mempunyai kaitan dengan unit berkenaan.
Pada 2020, AS membunuh komander Pasukan Quds, Qasem Soleimani dalam satu serangan udara di Baghdad, yang turut mengorbankan timbalan ketua Hashed al-Shaabi, Abu Mahdi al-Muhandis.-AFP




