Rom: Legenda pertahanan Itali, Franco Baresi yang mengetuai AC Milan pada era 1980-an dan 1990-an ketika kelab itu memenangi tiga Piala Eropah serta enam gelaran Liga Itali, meninggal dunia pada usia 66 tahun, menurut pengumuman kelab itu, hari ini.
“Milan menangisi pemergian Franco Baresi. Teladan dan integritinya akan kekal terpahat dalam DNA kelab ini, sama seperti jersi nombor 6 ikonik miliknya,” tulis AC Milan di platform X.
Baresi dilantik sebagai naib presiden kehormat AC Milan pada 2020.
“Kami perlu tabah dan mengumpulkan segala kekuatan walaupun ketika melalui saat paling menyedihkan ini.
“Kami kehilangan Franco hanya beberapa bulan selepas penampilan terakhirnya di hadapan puluhan ribu penyokong di San Siro ketika majlis pembukaan Sukan Olimpik Musim Sejuk Milan, acara bertaraf dunia yang dibantunya menjadi begitu bermakna.
“Sebagai mengenang Franco, kami akan terus bersatu, yakin beliau akan terus membimbing dan memberi semangat sepanjang perjalanan Rossoneri. Selama-lamanya. Kerana Baresi akan kekal abadi.”
Juara Piala Dunia bersama Itali pada 1982 itu turut membawa negaranya mara ke final Piala Dunia 1994 dan dianggap antara pemain pertahanan ‘sweeper’ terbaik dalam sejarah bola sepak.
Bagaimanapun, AC Milan tidak mendedahkan punca kematiannya.
Baresi pernah menjalani pembedahan pada Ogos 2025 bagi membuang ketumbuhan kecil pada paru-parunya.
“Ia akan mengambil sedikit masa untuk saya mendapatkan semula kekuatan sepenuhnya,” katanya selepas menjalani pembedahan itu.
Dilahirkan di wilayah Lombardy pada Mei 1960, Baresi menyertai akademi AC Milan pada 1974 sebelum dinaikkan ke skuad utama pada 1978, beberapa hari sebelum ulang tahun kelahirannya yang ke-18.
Beliau segera menjadi pemain utama pada usia 18 tahun dan dilantik sebagai kapten ketika berusia 22 tahun hasil kehebatan teknik, kebolehan membaca permainan, kemahiran melakukan terjahan serta kepimpinan yang luar biasa.
Baresi kemudian membentuk gandingan pertahanan yang digeruni bersama Paolo Maldini, Mauro Tassotti dan Alessandro Costacurta sehingga menjadi benteng yang sukar ditembusi mana-mana penyerang di Eropah.
Beliau bersara pada 1997 selepas membuat 719 penampilan bersama Rossoneri, rekod yang hanya diatasi Maldini.
Selain menyarung jersi merah hitam AC Milan, Baresi turut mewakili Itali sebanyak 81 kali.
Walaupun muncul juara dunia pada 1982 sebagai pemain simpanan, beliau tidak menyertai skuad ke Piala Dunia 1986 di Mexico susulan perselisihan dengan jurulatih kebangsaan ketika itu.
Impian untuk menjulang satu lagi Piala Dunia pula musnah selepas Itali tewas menerusi penentuan sepakan penalti pada separuh akhir Piala Dunia 1990 dan final edisi 1994.
Selepas bersara, Baresi memegang beberapa jawatan di AC Milan dan hanya pernah meninggalkan kelab itu seketika apabila menjadi pengarah teknikal kelab England, Fulham.
© New Straits Times Press (M) Bhd




