am@hmetro.com.my
Seremban: Penganggur diperintahkan menjalani hukuman penjara selama dua tahun dan empat sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, tadi, atas empat pertuduhan masing-masing melakukan amang seksual fizikal dan menyebabkan dua kanak-kanak menonton bahan lucah.
Hukuman itu ditetapkan Hakim Tasnim Abu Bakar selepas tertuduh, Hasmawi Hanipah, 37, mengaku bersalah atas pertuduhan yang dibacakan terhadapnya.
Mengikut dua pertuduhan yang dibacakan secara berasingan, tertuduh didakwa menyebabkan dua kanak-kanak berusia 10 dan 11 tahun memerhati bahan lucah dalam bentuk visual di dalam telefon bimbitnya yang bersifat seksual.
Oleh itu, tertuduh didakwa telah melakukan suatu kesalahan mengikut Seksyen 15(e) Akta Kesalahan- Kesalahan Seksual Terhadap Kanak- Kanak 2017 (Akta 792) yang boleh dihukum di bawah seksyen sama.
Jika disabitkan boleh dipenjara sehingga 10 tahun atau denda tidak lebih RM20,000 atau kedua-duanya.
Bagi dua lagi pertuduhan, tertuduh didakwa menyebabkan dua kanak-kanak sama menyentuh kemaluannya yang bersifat seksual.
Justeru itu, tertuduh didakwa telah melakukan suatu kesalahan mengikut Seksyen 14(b) Akta 792 yang boleh dihukum di bawah seksyen sama.Hukuman penjara maksimum 20 tahun dan boleh dihukum sebat sekiranya disabitkan.
Semua kesalahan itu dilakukan di sebuah rumah di dalam daerah Nilai pada 22 Jun lalu.
Peguam Mohd Hanif Hassan yang mewakili tertuduh secara probono memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk penjara yang paling minimum.
Menurutnya, anak guamnya kini tidak bekerja dan pernah bekerja di kedai menjual bateri dengan pendapatan RM1,700 serta menanggung seorang isteri serta tiga anak berusia tujuh hingga 13 tahun.
Hujahnya, tertuduh juga menanggung bapa yang lanjut usia yang kini sedang dirawat di hospital kerana mengalami strok selain hujahan bahawa pengakuan bersalah anak guamnya menjimatkan masa dan sumber mahkamah serta pihak pendakwaan.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Balkis Zunaidi meminta mahkamah menjatuhkan hukuman setimpal memandangkan kesalahan itu membabitkan kes seksual terhadap kanak-kanak.
Mahkamah kemudiannya menjatuhkan hukuman penjara selama dua tahun bagi semua pertuduhan yang berjalan serentak dari tarikh tangkap serta empat sebatan.
Tertuduh juga diarahkan menjalani kaunseling sepanjang menjalani tempoh hukuman penjara selain pengawasan polis selama setahun selepas selesai menjalani pemenjaraan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




