4 maut di Sepanggar: Hasrat sambut hari lahir bertukar tragedi

4 maut di Sepanggar: Hasrat sambut hari lahir bertukar tragedi

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Empat lelaki yang maut dalam kemalangan di Jalan Sepanggar, di sini, awal pagi tadi dipercayai dalam perjalanan untuk menyambut hari lahir seorang daripada mangsa.

Difahamkan, mereka dalam perjalanan ke sebuah kedai makan untuk menyambut hari lahir Ryanniel Robin, 23.

Menurut sumber, Ryanniel yang turut maut dalam kejadian itu dikatakan memberitahu keluarga yang dia ingin keluar makan bersama rakan.

“Bagaimanapun, mangsa tidak memaklumkan lokasi yang dituju,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Selain Ryanniel, kejadian kira-kira 2.30 pagi itu turut meragut nyawa Junior Allyson Julius, 20; Nicholas Thomas, 24, dan Axelord Nigel Alexander, 21.

Setakat ini, proses bedah siasat masih dijalankan di Hospital Queen Elizabeth I (HQEI).

Terdahulu, Superintendan Syed Lot Syed Ab Rahman dilapor berkata, kereta dinaiki empat sekawan itu dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan merempuh dua kenderaan di lokasi kejadian.

Katanya, rempuhan itu turut menyebabkan sebuah lori terdorong ke hadapan lalu menghimpit sebuah van sebelum van berkenaan melanggar sebuah lagi kenderaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top