Penganjur tersilap umum negara, Trainor raih gangsa

Penganjur tersilap umum negara, Trainor raih gangsa

Glasgow: Petinju Australia, Paul Trainor menambah koleksi pingat gangsa buat kontinjen negaranya selepas tewas kepada wakil England, Dimeji Shittu dalam aksi separuh akhir kategori 80 kilogram (kg) di Sukan Komanwel.

Trainor gagal melangkah ke final selepas akur dengan kehebatan Shittu, namun tetap membawa pulang pingat gangsa mengikut format pertandingan tinju yang memberikan gangsa kepada kedua-dua pemain yang tewas di separuh akhir.

Bagaimanapun, aksi itu turut dicemari insiden memalukan apabila pengacara majlis tersilap memperkenalkan Trainor sebagai atlet England ketika sesi pengenalan sebelum perlawanan.

Kesilapan itu segera disedari oleh seorang pegawai kontinjen Australia yang terus memaklumkan kepada pihak penganjur untuk membuat pembetulan.

Pengacara kemudian mengumumkan semula pengenalan atlet itu dengan menyebut: “Kini, sambut kehadiran Paul Trainor dari Australia.”

Insiden itu mencuri perhatian penonton sebelum perlawanan diteruskan seperti biasa.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top