Pelakon dan penyanyi Elyana berkata dia pernah menerima mesej negatif yang cuba menjatuhkan semangatnya ketika dia sedang berjuang menjalani rawatan kanser.
Memetik BH Online, Elyana berkata ada yang menghantar mesej kebencian meskipun ramai yang mendoakan agar dia sembuh. Kongsi Elyana lagi, lebih kejam ada yang menghantar mesej serta komen mempersoalkan dia masih lagi belum meninggal dunia.
BACA: “Jiwa Dah Lama Menyerah, Tapi Raganya Tetap Berjuang” – Elyana Jalani Kemoterapi Ke-8
“Ramai yang mendoakan dan memberi kata-kata semangat. Malah, ada yang kata rindu hendak melihat saya beraksi semula dalam lakonan. Mesej seperti itu memang menyentuh hati dan menjadi penyuntik semangat untuk saya, terutama ketika berada di wad.
“Tetapi, tidak terkecuali ada juga yang berniat jahat. Mereka tahu kita berada dalam keadaan lemah daripada segi mental dan fizikal kerana dimasukkan ke hospital, jadi mereka cuba menjatuhkan lagi semangat.
“Ada yang cakap, alah, tak mati-mati lagi dia ini. Kalau saya ceritakan kepada orang, mungkin ada yang tidak percaya manusia seperti itu wujud. Tetapi memang ada individu yang langsung tiada empati dan simpati terhadap orang lain,” katanya.
Sementara itu, Elyana bagaimanapun tidak menyimpan dendam kerana percaya individu itu pasti akan diuji suatu hari nanti serta akan melalui apa yang dirasai olehnya.
“Memang sedih apabila menerima mesej seperti itu, tetapi saya percaya suatu hari nanti mereka juga akan merasai apa yang saya rasa.
“Tiada siapa yang akan sentiasa sihat. Pasti akan ada waktunya kita diuji dengan sakit. Apabila tiba masa itu, mungkin mereka akan faham bagaimana sakitnya hati seseorang apabila diperlakukan sedemikian,” katanya.
Terdahulu, pada 2021 Elyana mengumumkan bebas daripada kanser limfoma selepas 11 tahun berjuang melawan penyakit tersebut. Bagaimanapun, sekitar berapa bulan lalu Elyana dilihat kembali menjalani sesi kemoterapi selepas sel kanser dikesan kembali aktif.
Sumber: BH Online




