nurul.hidayah@hmetro.com.my
Seremban: Klinik Kesihatan (KK) Rantau baharu yang akan dibina berhampiran Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK Rantau), di sini, dijangka siap lebih awal berbanding tarikh jangkaan pada 2029.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata, projek pembinaan KK jenis tiga itu mengambil masa kira-kira 154 minggu pelaksanaan dengan dijangka siap pada suku ketiga 2029.
“Bagaimanapun, saya yakin dengan kontraktor yang dilantik mampu menyiapkan projek itu lebih cepat berbanding tarikh jangkaan.
“Ini kerana syarikat kontraktor dilantik mempunyai rekod baik dalam pembinaan KK Karak sebelum ini yang berjaya disiapkan lebih awal dari jadual,” katanya ketika meninjau tapak KK Rantau baharu, di sini, hari ini.
Dr Dzulkefly berkata, pembinaan klinik dengan kos hampir RM47 juta itu adalah bagi menggantikan KK Rantau jenis empat sedia ada yang sudah berusia 64 tahun.
“Fasiliti sedia ada sering menanggung beban kedatangan pesakit yang tinggi iaitu melebihi 350 hingga 450 pesakit sehari.
“Disebabkan itu, KK Rantau yang baharu ini akan dibina di tapak baharu supaya klinik sedia ada boleh terus beroperasi seperti biasa tanpa memerlukan proses pemindahan sementara.
“Pembinaan fasiliti baharu ini akan memberi manfaat kepada lebih 74,500 penduduk di mukim ini merangkumi 48 kampung dan 28 taman perumahan,” katanya.
Menurutnya, Surat Setuju Terima (SST) bagi projek itu dikeluarkan pada 29 Julai lalu dengan Majlis Penyerahan SST serta Watikah Pelantikan disempurnakan pada 30 Julai lalu oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) kepada pihak kontraktor.
“Untuk rekod, projek ini mula diiklankan seawal 24 Februari lalu, manakala lawatan tapak dan taklimat tender diadakan pada 3 Mac lalu.
“Kos projek yang berjumlah RM46.9 juta ini diluluskan di bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12) dengan skop kerja awalan termasuk kerja tanah, membina klinik serta peralatan perubatan dan bukan perubatan.
“Sebaik siap, ia akan dapat memberi perkhidmatan termasuk pesakit luar, kesihatan ibu dan anak, kecemasan, pergigian, makmal radiologi serta rehabilitasi kepada 300 hingga 500 pesakit sehari,” katanya.
Katanya, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan bekerjasama rapat dengan JKR untuk proses pembinaan KK Rantau itu berjalan lancar mengikut jadual, kos dan spesifikasi ditetapkan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




