188 pemain gegar Cabaran Golf Trofi Mazda

188 pemain gegar Cabaran Golf Trofi Mazda

Kuala Lumpur: Cabaran Golf Trofi Mazda 2026 terus mendapat sambutan memberangsangkan apabila menghimpunkan 188 pemain golf amatur dari seluruh negara.

Ia membabitkan penyertaan wakil korporat, pengamal media, pencipta kandungan serta pempengaruh golf dalam satu kejohanan yang mengeratkan hubungan komuniti sukan itu bersama jenama Mazda.

Kejohanan anjuran Bermaz Motor itu berlangsung di Tasik Puteri Golf & Country Club (TPGCC).

Saingan itu turut diserikan dengan kehadiran Pengerusi Eksekutif Bermaz Auto Berhad, Tan Sri Ben Yeoh dan Pengarah Eksekutif Kumpulan Low Yat merangkap Pengarah Urusan TPGCC, Datuk Low Gee Teong.

Cabaran 18 lubang itu menyaksikan peserta berentap di tiga padang golf utama TPGCC iaitu Putera, Puteri dan Tasik, dengan had handicap ditetapkan di bawah 24 bagi kategori lelaki dan 36 bagi kategori wanita.

Selain menguji kemahiran peserta di padang, kejohanan itu turut menawarkan empat hadiah menarik menerusi cabaran hole-in-one, termasuk sebuah Mazda CX-30 baharu di Lubang 8 (Puteri) dan Lubang 17 (Putera).

Dua lagi cabaran hole-in-one menawarkan hadiah tajaan Adidas bernilai RM15,000 masing-masing di Lubang 14 (Putera) dan Lubang 24 (Tasik).

Selepas tamat pertandingan, para peserta diraikan dalam majlis makan tengah hari dan penyampaian hadiah yang berlangsung di Puteri Hall TPGCC yang baru dinaik taraf.

Penganjuran Cabaran Golf Trofi Mazda 2026 turut mendapat sokongan penaja bersama iaitu Adidas dan F&N.

Pada kejohanan kali ini, pemain handikap satu, Wan Zaidil Afthar Ishak muncul juara gross selepas mencatat skor 67 nett.

Manakala juara Kategori A menjadi milik pemain handicap lapan, Razid Sukiran dengan skor 69 nett, diikuti pemain handikap sembilan, Ahmad Suhaimi Mohd. Yassin (70 nett) dan pemain handikap lima, Lim Chee Kwang (70 nett OCB).

Sementara itu, bagi kategori B pula, pemain handikap 16, Fauzul Hazwan Khalid dinobatkan sebagai juara selepas merekod skor 71 nett, diikuti Roslan Ismail (71 nett) dan Fazlan Mohd. Desa (72 nett).

Bagi kategori senior pula, Kamaruzaman Abdullah dengan skor 73 nett dan Nur Azreen Mohd. Zin pula muncul juara kategori wanita dengan skor 72 nett.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top