Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan

Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan

HARI pengundian Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan hari ini tidak hanya akan menentukan siapa 36 wakil rakyat yang akan mengisi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) tetapi lebih penting hala tuju pentadbiran negeri untuk tempoh lima tahun akan datang.

Menjelang detik penting itu, pemimpin-pemimpin utama daripada parti yang bertanding menyeru 889,490 pengundi supaya menunaikan tanggungjawab masing-masing di pusat mengundi, selain membuat pilihan secara bijaksana.

Pelbagai mesej disampaikan kepada rakyat, daripada gesaan mengekalkan kestabilan politik dan pentadbiran, mempertahankan kepentingan rakyat pelbagai kaum, memperkukuh kedudukan masyarakat Melayu, hinggalah menyeru pengundi memilih calon yang berintegriti, berwibawa dan mampu membawa pembangunan.

Pengerusi Pakatan Harapan (PH), Datuk Seri Anwar Ibrahim

“Kepada penduduk dan pengundi Negeri Sembilan terutama majoriti Muslim dan rakan-rakan kita dalam kalangan Cina, India dan Orang Asli, marilah kita menunaikan tanggungjawab sebagai pengundi. Kerjasama semua pihak amat baik dan kita yakin PH akan diberi mandat, seterusnya mencapai kemenangan.”

Pengerusi Barisan Nasional (BN). Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi

“Kita hanya yakin dengan apa yang kita sedang lakukan dan kita yakin kita akan dapat menghidangkan kepada pengundi dan penduduk Negeri Sembilan sesuatu yang berbeza daripada apa yang mereka peroleh sekarang.”

Pengerusi Perikatan Nasional (PN), Datuk Seri Dr. Ahmad Samsuri Mokhtar

“Negeri Sembilan memerlukan sebuah pentadbiran yang stabil, cekap, berintegriti dan berlaku adil kepada seluruh rakyat. Nilailah calon berdasarkan integriti, kemampuan, keupayaan membina muafakat dan kesungguhan untuk berkhidmat.”

Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun

“Kami yakin membawa suara semua rakyat tanpa me­ngira kaum termasuk orang Melayu, Cina dan India. Kami telah membuktikannya apabila diberi mandat untuk menang di kawasan majoriti Melayu. Orang Melayu tidak perlu takut untuk memberi peluang kepada kami memperoleh lebih banyak kerusi di kawasan Melayu.”

Pengerusi Barisan Nasional (BN) Negeri Sembilan, Datuk Seri Mohamad Hasan

“Negeri ini majoritinya orang Melayu. Sepatutnya dah jadi lumrah, dah lama dah konsep keindukan Melayu ini menjadi teras kepada negara kita. Saya harap kita kembali semula kepada konsep keindukan Melayu itu. Orang Melayu dah biasa menjadi induk. Orang Melayu besar jiwa.”

Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin

“Saya harap penyokong Bersatu terus berpegang pada pendirian yang sama iaitu memberikan sokongan di mana sahaja kerana kita memikirkan masa depan anak-anak, cucu-cicit, kehidupan, ekonomi dan pendidikan. Inilah prinsip kita. Saya harap lebih pengundi berikan sokongan supaya kita beroleh kejayaan.”

Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Negeri Sembilan, Datuk Seri Jalaluddin Alias

“Saya ingin merayu memohon sokongan rakyat dan keluarga besar di Negeri Sembilan agar sama-sama menunaikan tanggungjawab. Mandat ini penting bagi mencorakkan sejarah politik Negeri Sembilan serta membolehkan kita memulakan pendekatan dan hala tuju baharu demi kepentingan rakyat.”

Scroll to Top