PRN N9: 'Itu analisis atas meja' – Aminuddin yakin PH lepas 19 kerusi, tak terganggu ramalan luar

PRN N9: 'Itu analisis atas meja' – Aminuddin yakin PH lepas 19 kerusi, tak terganggu ramalan luar

am@hmetro.com.my

Seremban: Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Seri Aminuddin Harun menegaskan Pakatan Harapan (PH) tidak terganggu dengan pelbagai ramalan oleh penganalisis atau pihak luar mengenai keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan ke-16.

Pengerusi PH negeri itu berkata, ramalan hanyalah sekadar analisis atas meja dan bukannya turun atau berdasarkan realiti di lapangan.

“Itu biasalah analisis hanya berdasarkan perkara di atas meja, dia tidak turun ke bawah, ke lapangan.

“PH tidak terganggu dengan pelbagai analisis itu kerana ia dibuat pihak luar sedangkan realitinya berbeza di lapangan. Saya yakin PH mampu melepasi 19 kerusi DUN,” katanya selepas selesai menunaikan tanggungjawab mengundi di Institut Perguruan Raja Melewar di Sikamat, di sini, pagi ini.

Aminuddin berkata, pihaknya menaruh keyakinan keputusan positif untuk PH kerana sehingga saat akhir malam tadi, jentera gabungan itu terus bekerja keras menemui pengundi.

“Saya sudah semak semua kawasan yang kita bertanding mempunyai potensi yang baik dan insya-Allah saya rasa jentera tak rasa ‘down’ (lemah) walaupun macam-macam spekulasi,” katanya yang melahirkan rasa syukur kerana proses pengundian hari ini berjalan lancar dengan cuaca baik serta suasana tenang di pusat mengundi.

Terdahulu, beliau yang juga calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Linggi tiba di pusat mengundi sekitar 8.35 pagi sebelum beratur dan duduk menunggu giliran bersama pengundi lain pada jam 9 pagi.

Pengerusi PKR Negeri Sembilan itu tiba diiringi Setiausaha Politiknya, Norazman Mohamad yang juga calon PH bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sikamat.

Sebelum meninggalkan pusat mengundi, beliau turut meluangkan masa bergambar bersama beberapa pengundi yang menghampirinya.

Pada PRN kali ini, Aminuddin tidak mempertahankan kerusi DUN Sikamat yang dimenanginya pada PRN 2023 dengan majoriti 2,662, sebaliknya berpindah ke kubu kuat Barisan Nasional (BN) di DUN Linggi.

DUN Linggi menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara Aminuddin dan calon BN yang juga penyandang, Datuk Mohd Faizal Ramli serta calon BERSATU, Datuk Zamri Md Said.

PRN Negeri Sembilan ke-16 membabitkan pertandingan bagi semua 36 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menyasarkan keputusan awal bagi PRN di Negeri Sembilan akan mula diketahui jam 10 malam dan memperoleh keputusan penuh proses pengundian jam 12 tengah malam.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top