sukan@hmetro.com.my
Seremban: Persiapan Negeri Sembilan FC (NSFC) dalam menghadapi kempen saingan Liga Malaysia (Liga M) musim 2026/2027 tampak berjalan lancar apabila memulakan latihan intensif di Johor selama seminggu, bermula semalam.
Persiapan itu sebagai sebahagian daripada usaha memperkukuh persiapan taktikal dan kesatuan pasukan menjelang sepak mula kempen musim baharu Liga Malaysia 18 Ogos ini.
Ketua jurulatih pasukan itu, Daniel Gimenez berkata, tumpuan utama barisan kejurulatihan pasukan kini beralih kepada usaha membina keserasian memandangkan skuad kali ini dibarisi ramai wajah baharu yang merangkumi pemain tempatan dan import serta pemain muda.
“Selepas mengharungi program latihan fizikal dan taktikal selama tiga minggu sebelum ini, kini tumpuan kami adalah untuk membina keserasian dalam kalangan pemain kerana pasukan merangkumi pemain tempatan dan import termasuk tenaga muda.
“Aspek persefahaman antara pemain menjadi kunci utama sebelum pasukan merangka sebarang sasaran di atas padang.
“Paling penting dalam pasukan ini adalah masa untuk menguruskan keserasian pasukan kerana kita mempunyai pelbagai kewarganegaraan, pemain tempatan dan import,” kata Gimenez, dalam satu kenyataan, hari ini.
Beliau menegaskan bahawa semua pemain perlu bersatu hati dalam membawa panji-panji pasukan kerana jika tidak, mustahil untuk skuad Hobin Jang Hobin bersaing merebut apa-apa kejuaraan.
Menurutnya, selain perihal taktikal dan status pemain, mesej utama yang diterapkan sepanjang kem berkenaan adalah berkaitan tahap disiplin yang tidak boleh dikompromi.
Pengendali dari Sepanyol itu berkata, pihak kejurulatihan meletakkan syarat bahawa kualiti teknikal semata-mata tidak bermakna tanpa organisasi yang baik di luar dan di dalam padang.
“Tanpa disiplin dan organisasi di luar dan di dalam padang, mustahil untuk kita capai apa-apa. Walaupun kelab tidak memenangi sebarang kejuaraan pada musim lalu, ia tetap sebuah kelab yang besar kerana sokongan padu daripada ribuan penyokongnya.
“Tanggungjawab kita sekarang adalah untuk berjuang dan membalas sokongan mereka di atas padang,” tegasnya.
Gimenez menjelaskan bahawa secara keseluruhannya, kem di Johor ini bukanlah platform terakhir untuk barisan jurulatih menilai keupayaan individu pemain semata-mata, sebaliknya ia adalah fasa kritikal bagi mengukuhkan ikatan kekeluargaan dan semangat kebersamaan.
Setakat ini, NSFC sudah membawa masuk dua pemain import baharu iaitu Ryaan Sanizal dari Singapura dan Park Yi-Young dari Korea Selatan.
Selain itu, empat pemain import musim lalu dikekalkan membabitkan Kei Oshiro, Yuichi Hirano dan Takumi Sasaki yang kesemuanya dari Jepun serta Jovan Motika dari Bosnia & Herzegovina.
© New Straits Times Press (M) Bhd




