MUKADIMAH
PKR kekal teguh meskipun berdepan tindakan beberapa pemimpin dan ahlinya yang memilih meninggalkan parti serta menubuhkan wadah politik baharu. Bagi Menteri Belia dan Sukan, DR. MUHAMMED TAUFIQ JOHARI, perkembangan itu bukan sesuatu luar biasa dalam sebuah negara demokrasi yang menyaksikan landskap politik sentiasa berubah.
Ahli Parlimen Sungai Petani yang juga Naib Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK) itu menegaskan, kekuatan PKR tidak bergantung kepada individu, sebaliknya dibina melalui proses kaderisasi berterusan, pembentukan pemimpin pelapis serta perjuangan reformasi yang menjadi teras parti sejak hampir tiga dekad lalu.
Dalam wawancara bersama wartawan Mingguan Malaysia, IRWAN SHAFRIZAN ISMAIL dan AMINUDDIN LOKMAN HAKIM dibantu jurufoto AMIR KHALID serta juruvideo ZUID SAMSON, Muhammed Taufiq turut mengupas pembangunan sukan negara, tekad menjuarai Sukan SEA 2027 serta usaha dalam menjaga kebajikan atlet.
UTAMA POLITIK PRESTASI
MINGGUAN MALAYSIA: Adakah PKR goyah apabila ada pemimpin dan ahli keluar parti serta menubuhkan parti lain?
Politik sangat dinamik dan bagi saya ini adalah hak demokrasi dan negara kita adalah negara demokrasi. Jadi, bila kita sebut mengenai mereka yang keluar parti dan sebagainya, sejak merdeka lagi, kita mempunyai pelbagai parti dan parti-parti yang lahir sekarang ini juga kebanyakannya ada yang daripada parti-parti yang sebelum ini.
Cuma pandangan saya apabila lebih banyak parti, maka ahli-ahli politik ini akan lebih berlumba-lumba untuk memastikan mereka menjadi pilihan utama rakyat melalui prestasi yang telah pun ditunjukkan.
Dari sudut PKR sendiri, kita mempunyai pelapis yang ramai dan proses kaderisasi, proses untuk melahirkan lebih ramai lagi pemimpin itu memang sentiasa berlaku dan berjalan. Ia tidak memberikan satu kesan yang besar kepada parti.
Kita menghormati keputusan mana-mana individu ataupun anggota parti, tetapi proses pembangunan anak muda, proses pembangunan melahirkan pemimpin parti yang baik, proses pembangunan secara keseluruhan itu mesti berjalan dan memang kita sentiasa bersedia dalam apa jua keadaan.
Kita sudah berjuang selama hampir 28 tahun untuk mencapai ke arah apa yang kita ada sekarang dan matlamat kita adalah reformasi ataupun mengubah lanskap sistem yang cukup lama, yang mungkin ada kelompongan tertentu yang perlu diisi, itu yang paling penting sekali.
Banyak tokoh besar dalam parti sebelum ini yang telah pun membuat keputusan untuk meninggalkan perjuangan dan juga meninggalkan idealisme yang dibawa oleh PKR. Tetapi PKR masih utuh, masih kuat dan kita bukan mahu sombong tetapi kita mesti tawaduk, insaf dengan apa juga berlaku dan memastikan proses pembentukan pemimpin muda baru yang menjadi pelapis dalam parti itu boleh berjalan secara berterusan.
Fokus kita juga adalah untuk menonjolkan politik prestasi berbanding dengan politik retorik ataupun politik identiti.
PKR mahu pastikan politik prestasi, apa yang dilaksanakan oleh Presiden parti yang juga Perdana Menteri, bagaimana pelaburan yang besar dibawa dalam negara kita, bagaimana kestabilan politik yang boleh dilakukan Perdana Menteri ini yang mampu mengubah lanskap ekonomi negara. Dalam keadaan krisis global tetapi nilai Ringgit masih terbaik, pengangguran masih antara yang terendah dan juga harga minyak antara termurah, nombor dua termurah di dunia. Ini sebenarnya yang ingin kita tunjukkan.
Prestasi dibawa oleh PKR itu sendiri diterjemahkan dalam bentuk pentadbiran. Kemudian kita serahkan kepada rakyat untuk menilai dan melihat sendiri kemampuan parti.
BERSAMA TIDAK ANCAM UNDI PH
Adakah PKR dan PH rasa terancam dengan kewujudan parti Bersama yang dilihat boleh menjadi pemecah undi parti terutama kawasan bandar?
Kita menghormati setiap gerak kerja dilakukan oleh parti itu. Kita juga menghormati keputusan yang dilakukan dan sudah pasti mereka juga ada hala tuju, mereka tersendiri.
Tetapi kalau ingin dilihat mereka ini memecah undi dan mengambil undi utama daripada PH dan sebagainya, saya rasa ini tidak memberikan impak terlalu besar untuk PKR dan PH terutamanya.
Ini kerana kalau kita lihat daripada segi angka juga sebenarnya, undi tetap PH itu masih utuh dan tidak terjejas begitu besar sekali dan kita tidak melihat mereka ini sebagai ancaman besar dan kita hendak pastikan kalau mereka boleh menawarkan yang terbaik untuk rakyat, kita persilakan.
Kemudian kita lawan dan menawarkan yang terbaik dalam satu gelanggang sama, untuk rakyat. Sebab itu, fokus keutamaan PKR adalah untuk menunjukkan prestasi yang terbaik.
Jadi, bagi saya kita menginsafi setiap apa berlaku tetapi fokus keutamaan adalah kepada pengundi-pengundi utama kita dan saya rasa (munculnya Bersama) tidak memberikan impak yang begitu besar sebenarnya.
KERJASAMA BN-PN, TULEN?
Pandangan Dr. mengenai kerjasama Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) akan terus menggugat PH dalam pilihan raya?
Saya tidak yakin sebenarnya mengenai kerjasama mereka ini macam mana, tulen, asli atau tidak? Banyak percanggahan dalam kerjasama mereka itu dan saya tidak pasti bentuk kerjasama apa yang sedang dijalinkan, belum jelas apa hala tuju mereka.
Jadi, rakyat jangan gadai masa depan atas ketidaktentuan hala tuju gabungan parti politik ini. Pastikan pilihlah gabungan yang ada masa depan dan telah pun menunjukkan prestasi yang baik sebelum ini.
Bagi saya kita mesti ada satu rasa hormat kepada gabungan ataupun perjanjian yang telah pun dimeterai sebelum ini sebagai contoh perjanjian di peringkat Kerajaan Perpaduan, kita perlu menghormati perpaduan di peringkat Persekutuan.
HORMATI GABUNGAN
Bagaimana PKR melihat hubungan dalam Kerajaan Perpaduan dan apakah yang perlu diperkukuhkan menjelang pilihan raya akan datang?
Di peringkat Persekutuan, insya-Allah, kepimpinan Perdana Menteri ini mampu menyatupadukan semua dan kematangan, kehebatan Perdana Menteri untuk memastikan bahawa tidak ada perpecahan di peringkat Persekutuan dan juga Kerajaan Perpaduan ini, itu wajar untuk kita berikan kredit kepada Perdana Menteri.
Namun gabungan seperti gabungan lain, kita mesti ada satu mutual respect. Kita mesti menghormati gabungan kita dan yang paling penting jangan terlajak dalam kita berkempen, jangan kita terlajak mengutuk ataupun mengecam apa juga dasar dan polisi dibuat, yang mana dalam Kabinet itu adalah parti yang sama juga. Mungkin ada parti tertentu mengecam apa juga dasar yang dibuat dan sebagainya, tetapi kamu perlu menghormati setiap apa juga keputusan yang dibuat dalam jemaah menteri dan juga secara bersama keseluruhannya yang menjadi gabungan perpaduan iaitu PH dan BN.
Cuma bagi saya itulah yang perlu kita lihat semula dan yang pastinya PH perlu memperkukuhkan gabungan dalam PH itu sendiri dan menentukan hala tuju untuk pilihan raya yang akan datang, dan juga untuk memastikan bahawa sokongan di peringkat akar umbi ini dapat terus diperkukuhkan.
POLITIK IDENTITI PECAH BELAH KAUM
Penggunaan sentimen penyatuan ummah Melayu dan Islam oleh BN dan PN untuk mendapatkan undi, adakah hanya mereka yang boleh menyatukan ummah?
Fokus utama PH adalah penyatuan rakyat Malaysia secara keseluruhannya. Jika kita sebut tentang Melayu dan Islam, tidak ada satu pun dasar yang dibuat oleh Kerajaan Perpaduan diketuai Datuk Seri Anwar Ibrahim selama tempoh hampir empat tahun ini, tidak ada satu dasar pun yang merugikan orang Melayu.
Tidak ada satu dasar pun melebihkan kaum-kaum lain sebab kita masih menghormati apa yang termaktub di dalam Perlembagaan iaitu hak keistimewaan untuk orang Melayu itu kita tidak boleh sentuh dan juga kita tidak boleh tinggalkan rakyat yang lain.
Maksudnya, rakyat selagi mana dia rakyat Malaysia, tidak kira Melayu, Cina, India, Iban, Kadazan atau mana-mana juga kaum dalam negara kita, mesti juga perlu mendapat hak yang sepatutnya, walaupun hak keistimewaan orang Melayu itu tidak boleh disentuh, tidak boleh digadaikan dan tidak boleh dikurangkan.
Dan pelbagai bentuk forum ilmuwan keislaman, pelbagai sekolah pondok yang diberikan dana yang lebih daripada kerajaan sebelum ini, dan martabat bahasa Melayu di peringkat pendidikan sekolah juga terus diperhebat dan dimartabatkan.
Jadi, saya rasa tidak ada sebab. Itu sebab saya kata tadi kita melihat daripada politik prestasi, bukan politik identiti ataupun politik retorik yang hanya akan memecah-belahkan kaum dalam negara kita.
Sebab itu, pendekatan yang dilakukan oleh PH adalah untuk kita menyatupadukan rakyat secara keseluruhannya tanpa menggadaikan apa-apa juga hak keistimewaan yang telahpun termaktub dalam Perlembagaan.
ORANG MELAYU TIDAK PERLU GUSAR
Apakah jaminan PH kepada orang Melayu dan Islam yang mungkin bimbang terhadap kedudukan mereka?
Bagi saya dalam PH sendiri majoritinya masih Melayu-Islam. Majoriti menteri yang mewakili PH juga adalah Melayu-Islam. Perdana Menteri kita juga Melayu-Islam dan parti-parti dalam Pakatan Harapan, PKR dan Amanah, itu juga orang Melayu-Islam.
Jadi, saya rasa tidak ada sesuatu yang perlu rakyat gusar atau bimbang. Yang paling penting adalah kestabilan politik dan kestabilan kaum dalam negara. Itu amat penting untuk kita memastikan pertumbuhan dan pengembangan ekonomi yang lebih baik pada masa akan datang.
TIDAK BERGANTUNG KELEMAHAN LAWAN
Jika melihat situasi di Kedah, dengan percakaran antara Pas dan Bersatu. Adakah keadaan ini memberi kelebihan kepada PH untuk memperoleh lebih banyak kerusi?
Kami sememangnya optimis. Namun, saya selalu menegaskan kepada diri saya dan seluruh warga PH bahawa kekuatan kita tidak boleh bergantung kepada kelemahan pihak lain.
Kita tidak mahu menjadi kuat hanya kerana parti lain lemah atau berpecah. Jika itu berlaku, asas perjuangan dan kekuatan kita tidak akan kukuh. Sebab itu, sekiranya ada parti lain berdepan perpecahan, kita menganggapnya sekadar bonus, bukannya faktor utama menentukan kejayaan kita.
Apa yang benar-benar akan membawa kemenangan kepada PH adalah kekuatan gabungan kita sendiri serta keupayaan kita menawarkan alternatif lebih baik kepada rakyat, khususnya rakyat Kedah.
Selain itu, prestasi kerajaan di peringkat Persekutuan juga memainkan peranan penting. Jika prestasi yang baik itu dapat diterjemahkan di peringkat negeri, saya percaya Kedah mempunyai potensi sangat besar untuk berkembang. Kedah memiliki pelbagai kelebihan. Dari sudut pelancongan, kedudukan geografi yang strategik, sumber alam dan potensi ekonomi, semuanya memberi ruang untuk negeri ini muncul sebagai antara negeri yang lebih maju dan mampu bersaing dengan negeri lain.
Pada masa sama, kerajaan Persekutuan telah membawa pelbagai pelaburan dan inisiatif pembangunan ke Kedah. Bayangkan sekiranya kerajaan negeri diterajui oleh gabungan yang sehaluan dengan kerajaan Persekutuan. Sudah tentu penyelarasan dasar dan pelaksanaan pembangunan akan menjadi lebih lancar, sekali gus mempercepatkan kemajuan negeri.
MISI TUAI EMAS JUARAI SUKAN SEA
Selaku Menteri, apakah sasaran utama Malaysia bagi penganjuran Sukan SEA 2027? Selain itu, penganjuran kali ini juga dilihat memberi cabaran dari segi logistik. Bagaimana YB melihat perkara ini?
Matlamat utama Sukan SEA 2027 adalah untuk menjadikan temasya ini platform menyatupadukan rakyat tanpa mengira kaum dan agama, bukan sahaja di Malaysia, malah di seluruh rantau ASEAN. Sebab itu, tema yang kita pilih bagi Sukan SEA 2027 adalah ‘Celebrating Unity’, yang membawa mesej perpaduan dan penyatuan.
Dari sudut pencapaian sukan pula, Malaysia pernah muncul juara keseluruhan sebagai tuan rumah, dan kali ini kita mahu mengulangi kejayaan itu. Kita ingin menyemai semangat “Tekad Juara” dalam diri setiap atlet agar mereka berjuang bersungguh-sungguh demi mempertahankan maruah negara. Sebagai negara tuan rumah, sasaran kita jelas, iaitu muncul sebagai juara keseluruhan.
Kita tidak boleh meletakkan sasaran yang lebih rendah daripada itu.
Mengenai aspek logistik, Alhamdulillah, Sekretariat Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Malaysia (MASOC) sedang bekerja keras bagi memastikan semua persiapan berjalan lancar mengikut perancangan. Penganjuran kali ini melibatkan empat kluster utama, iaitu Kuala Lumpur, Johor, Pulau Pinang dan Sarawak. Sebanyak 43 jenis sukan akan dipertandingkan, meningkat daripada 38 sukan sebelum ini.
Saya yakin aspek logistik berada pada tahap yang baik. Kita ada pengalaman menganjurkan Sukan SEA 2017 dan kebanyakan kemudahan serta venue sedia ada masih boleh digunakan. Apa yang ingin kita tampilkan sebagai pembaharuan adalah konsep Karnival Rakyat. Kita mahu suasana Sukan SEA bukan hanya tertumpu kepada pertandingan di dalam stadium, tetapi turut menjadi festival yang boleh dinikmati seluruh keluarga.
JAMINAN KOS SUKAN SEA 2027 KEKAL
Dalam ketidaktentuan ekonomi global ada penganjuran sukan yang dipotong kosnya seperti SUKMA, adakah kos penganjuran Sukan SEA 2027 kemungkinan dikurangkan atau pelaksanaan dalam skala lebih kecil?
Setakat hari ini, semua persiapan berjalan mengikut jadual dan bajet yang telah diputuskan. Jumlah kos penganjuran sekitar RM700 juta, dengan Kerajaan Sarawak menyumbang RM350 juta, manakala Kerajaan Persekutuan memperuntukkan kira-kira RM330 juta. Peruntukan ini telah diluluskan sebelum berlakunya ketidaktentuan ekonomi global.
Sehingga kini, tiada perubahan terhadap kos, skop atau perancangan asal. Kita berharap keadaan ekonomi global akan terus stabil supaya tidak menjejaskan persiapan yang sedang dilaksanakan. Insya-Allah, saya boleh memberi jaminan setakat hari ini tiada cadangan untuk mengurangkan kos dan skala penganjuran. Semua persiapan berjalan mengikut pelan asal.
SUKAN ASIA: SASAR PINGAT IKUT WARNA
Malaysia akan beraksi di Sukan Asia Aichi-Nagoya pada September nanti. Adakah sasaran negara telah ditetapkan? Adakah kita masih mengekalkan pendekatan menyasarkan jumlah pingat keseluruhan atau kini memberi tumpuan kepada jumlah pingat emas?
Penyertaan di Sukan Asia juga sebahagian daripada persiapan menuju Sukan SEA 2027, selain membantu program pembangunan atlet, khususnya atlet di bawah inisiatif Road to Gold, dalam usaha menghadiahkan pingat emas Olimpik pertama buat negara. Setakat ini, perbincangan mengenai sasaran negara masih berjalan di peringkat Majlis Sukan Negara (MSN).
Setiap perkembangan dibentangkan kepada Lembaga Pengarah MSN, dan perbincangan turut melibatkan semua persatuan sukan yang akan mengambil bahagian di Sukan Asia. Kita sedang meneliti sasaran realistik berdasarkan potensi setiap sukan dan setiap atlet. Selepas proses perbincangan ini dimuktamadkan, kerajaan akan mengumumkan sasaran rasmi negara.
Berhubung pendekatan penetapan sasaran pingat, kerajaan telah membuat keputusan untuk memberi penekanan kepada jumlah pingat emas, atau pencapaian mengikut warna pingat, berbanding jumlah pingat keseluruhan.
Kita berpendapat penekanan terhadap pencapaian pingat emas lebih mencerminkan tahap daya saing sebenar negara di peringkat antarabangsa. Lebih penting lagi, pendekatan ini memberikan hala tuju yang jelas kepada atlet untuk bersaing di tahap tertinggi. Akhirnya, sasaran ini bukan sekadar mengenai pencapaian di Sukan Asia, tetapi sebahagian daripada pelan jangka panjang negara ke arah merealisasikan impian memenangi pingat emas Olimpik pertama.
ANJUR PIALA DUNIA? GEMILANGKAN DULU BOLA SEPAK NEGARA
Demam Piala Dunia baru sahaja berakhir. Secara realistik, adakah Malaysia perlu tanam cita-cita untuk anjur Piala Dunia, memandangkan prestasi sukan bola sepak negara masih turun naik?
Tidak menjadi masalah untuk kita mempunyai cita-cita atau hala tuju yang besar seperti menjadi tuan rumah Piala Dunia yang boleh jadi pemangkin kepada usaha dan pembangunan sukan.
Namun begitu, keutamaan kita pada ketika ini bukanlah soal penganjuran Piala Dunia, fokus utama kita adalah membangunkan semula pasukan bola sepak kebangsaan, mengukuhkan ekosistem bola sepak tempatan serta memastikan minat dan sokongan rakyat terhadap bola sepak Malaysia terus berkembang.
Pembangunan itu perlu bermula dari peringkat akar umbi. Kita perlu memperkukuhkan pembangunan bakat, akademi, persatuan bola sepak serta sistem pertandingan sehingga kita mampu kembali menjadi pencabar utama di peringkat Asia Tenggara, kemudian di peringkat Asia, sebelum melangkah lebih jauh ke pentas dunia.
Itulah keutamaan kita. Kita perlu mengembalikan kegemilangan bola sepak negara terlebih dahulu. Sudah tentu, menetapkan sasaran besar seperti menjadi tuan rumah Piala Dunia bukanlah satu masalah. Namun, sasaran sahaja tidak mencukupi jika tidak disusuli tindakan yang jelas dan berterusan.
Sebagai Menteri Belia dan Sukan, tanggungjawab saya adalah memastikan langkah pertama dilaksanakan dengan baik, iaitu memperkukuhkan sistem bola sepak negara, membina lebih ramai pemain berkualiti serta meningkatkan daya saing pasukan kebangsaan.
Apabila asas itu berjaya dibina, saya percaya segala kemungkinan boleh dicapai, termasuk hasrat untuk layak ke Piala Dunia atau suatu hari nanti menjadi tuan rumah kejohanan terbesar dunia itu.
Buat masa ini, kementerian tidak menetapkan sebarang garis masa khusus ke arah hasrat tersebut. Fokus utama kita adalah melaksanakan pembaharuan secara menyeluruh terhadap pembangunan bola sepak negara.
LALUAN KERJAYA ATLET BERSARA
Apakah inisiatif bagi memastikan masa depan dan kerjaya atlet-atlet yang telah bersara daripada sukan?
Kementerian melalui Majlis Sukan Negara telah mewujudkan My Athlete Career Centre (MyACC). Melalui inisiatif ini, kita bekerjasama dengan pelbagai syarikat dan industri bagi membuka peluang pekerjaan kepada atlet-atlet negara. Selain membantu penempatan pekerjaan, MyACC turut menyediakan pelbagai latihan pembangunan diri, termasuk program literasi kewangan, latihan persediaan kerjaya, pembangunan kemahiran, keusahawanan serta bimbingan untuk menceburi bidang perniagaan.
Sebab itu, penubuhan MyACC antara inisiatif pertama yang saya lancarkan sebaik sahaja dilantik sebagai Menteri. Bagi saya, kejayaan atlet bukan hanya diukur melalui pingat, tetapi juga melalui jaminan masa depan mereka selepas meninggalkan arena sukan.
Selain itu, kita turut menjalinkan kerjasama strategik dengan Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) melalui memorandum persefahaman yang ditandatangani pada Februari lalu.
Melalui kerjasama ini, atlet-atlet negara diberikan laluan fast track untuk melanjutkan pengajian di UPSI tanpa perlu melalui proses kemasukan biasa. Ini membuka lebih banyak peluang kepada mereka memperoleh kelayakan akademik dan membina kerjaya profesional, termasuk sebagai guru. – Mingguan Malaysia




