Sultan Pahang titah runtuh penempatan haram warga asing 

Sultan Pahang titah runtuh penempatan haram warga asing 

​KUANTAN: Sultan Pahang, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah menitahkan pihak berkuasa mengambil tindakan drastik meruntuhkan sebarang struktur penempatan haram pendatang asing, khususnya yang didirikan di atas tanah kerajaan di negeri ini. 

​Sultan Pahang bertitah, apa membimbangkan, terdapat segelintir pihak mengambil kesempatan atas layanan dan toleransi yang diberikan dengan mewujudkan penempatan tidak terkawal, menjalankan aktiviti tanpa kebenaran serta bertindak seolah-olah mempunyai hak yang setara dengan warganegara. 

“Hari ini, kita melihat ada kawasan yang dipenuhi pekerja asing sehingga penduduk tempatan berasa asing di tempat sendiri. Ada premis perniagaan yang hampir keseluruhannya bergantung kepada tenaga kerja asing. 

“Ada penempatan yang semakin berkembang tanpa kawalan yang sewajarnya. Perkembangan seperti ini tidak boleh dipandang ringan. Ia bukan sekadar isu imigresen.

“Ia adalah isu keselamatan negara. Ia adalah isu kedaulatan. Ia adalah isu masa depan anak cucu kita,” titah baginda ketika berkenan berangkat ke Istiadat Pengurniaan Darjah-Darjah Kebesaran dan Pingat-Pingat Negeri Pahang Darul Makmur sempena Memuliakan Ulang Tahun Hari Keputeraan Ke-67 Sultan Pahang di Istana Abdulaziz di sini, semalam. 

Al-Sultan Abdullah bertitah, Pahang dan Malaysia bukanlah bumi yang boleh diduduki sesuka hati dan tanpa menghormati undang-undang. 

Titah baginda, sesiapa sahaja yang datang ke negara dan negeri ini, hendaklah memahami bahawa mereka adalah tetamu kepada sebuah bumi yang berdaulat.

“Sekiranya terdapat penempatan haram oleh pendatang asing di negeri ini, beta titahkan kepada pihak berkuasa untuk mengambil tindakan drastik dengan meruntuhkan struktur bangunan terlibat khususnya di atas tanah kerajaan. 

“Sesungguhnya, tetamu yang baik menghormati tuan rumah. Tetamu yang beradab mematuhi peraturan. Tetamu yang ikhlas tidak sesekali mempertikai hak pemilik rumah,” titah baginda.

Sultan Pahang juga menyeru Kerajaan Persekutuan terus memperkukuh kawalan sempadan negara, memperketat proses kemasukan warga asing, mempercepat penghantaran pulang pendatang tanpa izin serta mengambil tindakan tegas kepada semua pihak yang terlibat.

Malah, pada hemat baginda, langkah yang paling berkesan adalah membendung isu itu sejak di pintu masuk negara, khususnya di perairan negara sebelum mereka bertapak dan membentuk penempatan.

“Mencegah di sempadan jauh lebih berkesan daripada merawat apabila keadaan telah menjadi rumit,” titah baginda.

Sultan Pahang bertitah, Malaysia sentiasa menghulurkan tangan kepada mereka yang datang secara sah untuk bekerja, melabur, menuntut ilmu atau menyumbang kepada pembangunan ekonomi.

Namun titah baginda, sifat terbuka tidak boleh disalah erti sebagai lemahnya kedaulatan dan sifat berperikemanusiaan tidak boleh dianggap sebagai ruang untuk mengambil kesempatan.

“Beta memandang serius fenomena lambakan warga asing yang semakin ketara di beberapa kawasan dalam negeri Pahang dan di seluruh negara termasuk lambakan pelarian Rohingya yang mula membimbangkan.

“Keadaan ini bukan sahaja menimbulkan keresahan rakyat, malah boleh menggugat ketenteraman awam, keselamatan dan keharmonian masyarakat,” titah baginda. – UTUSAN

 

Scroll to Top