am@hmetro.com.my
Kuala Terengganu: Remaja lelaki yang terbabit dalam kemalangan di Jalan Buluh Gading, Kuala Nerus, bersama ibunya Jumaat lalu mengalami kecederaan melecur 60 peratus dan kini ditidurkan.
Difahamkan kejadian berlaku apabila motosikal dinaiki remaja berkenaan bersama ibunya dirempuh motosikal peserta perhimpunan RXZ Members 8.0 dan mangsa kini ditidurkan bagi menjalani prosedur perubatan membabitkan pembersihan luka.
Bapa mangsa, Talhah Mahmud, 61, berkata, anak sulungnya, Ahmad Asyraf, 13, dirawat di unit rawatan rapi (ICU) Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu dan ditidurkan sejak tiga hari lalu.
Menurutnya, walaupun anaknya tersedar seketika pada pagi Ahad, namun doktor mendapati kadar degupan jantung kencang dan perlu dipantau terus secara rapi.
“Doktor yang merawat juga memaklumkan anak saya tiada tindak balas positif dan itu yang merisaukan saya.
“Buat masa ini kami bimbang luka akibat melecur itu terdedah kepada jangkitan kuman memandangkan lapisan kulit luar sudah tiada,” katanya.
Menurutnya, dia tidak pasti berapa lama anaknya perlu berada di wad dan doktor memaklumkan rawatan anaknya mengambil masa yang panjang.
Katanya, dia difahamkan bekalan tisu untuk menampung bahagian luka masih tiada dan pihak hospital sedang berbincang untuk mencari tisu bagi menjalani rawatan lanjut.
Talhah berkata, dia difahamkan Honda Beat yang ditunggang isterinya dirempuh Yamaha RXZ hingga menyebabkan tumpahan minyak dan berlaku kebakaran.
“Akibat rempuhan itu, Ahmad Asyraf melecur 60 peratus dari paras pinggang hingga ke bawah, manakala motosikal ditunggang isteri hangus 100 peratus dan motosikal RXZ terbabit terbakar kira-kira 80 peratus,” katanya.
Terdahulu media pada Jumaat lalu melaporkan dua beranak yang dalam perjalanan dari rumah di Kampung Tanjung Sabtu menghala ke Pasar Batu Enam, Kuala Nerus, terbabit dalam kemalangan jam 11.50 pagi.
Akibat kejadian itu, Honda Beat ditunggang Syafirah Salim, 36, yang hamil tujuh bulan bersama Ahmad Asyraf, hangus 100 peratus.
© New Straits Times Press (M) Bhd




