PETALING JAYA: Seramai 10,000 belia di Parlimen Sungai Buloh akan mula menerima sumbangan basikal percuma secara berfasa pelaksanaan inisiatif pengagihan 10,000 basikal bagi menggalakkan gaya hidup sihat, meningkatkan mobiliti belia dan memperkukuh hubungan komuniti.
Ahli Parlimen Sungai Buloh, Datuk Seri Ramanan Ramakrishnan berkata, pengagihan itu membuktikan komitmen untuk memastikan setiap inisiatif yang diumumkan diterjemahkan kepada tindakan yang memberi manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Ini bukan sekadar program penyerahan basikal, tetapi merupakan pelaburan terhadap masa depan belia.
“Kita mahu lebih ramai anak muda mengamalkan gaya hidup aktif dan sihat, di samping menjadikan aktiviti berbasikal sebagai medium mengeratkan hubungan kekeluargaan, kejiranan dan perpaduan masyarakat,” katanya ketika berucap pada Majlis Peluncuran Kemerdekaan Peringkat Parlimen Sungai Buloh dan Penyerahan Sumbangan Basikal Percuma, hari ini.
Beliau berkata, sebanyak 10,000 basikal akan diagihkan secara berperingkat kepada penerima yang layak, dengan 500 penerima pertama menerima manfaat pada majlis hari ini.
Menurut Ramanan, pembangunan sesebuah kawasan tidak seharusnya hanya diukur melalui pembangunan fizikal semata-mata, sebaliknya turut merangkumi usaha meningkatkan kesejahteraan rakyat menerusi pelbagai inisiatif dalam bidang pendidikan, pembangunan belia, kebajikan dan kesejahteraan komuniti.
Beliau berkata Kerajaan Madani akan terus memastikan tiada golongan yang tercicir daripada arus pembangunan serta setiap dasar yang dilaksanakan memberi impak secara langsung kepada kehidupan rakyat.
Beliau turut mengingatkan semua penerima supaya sentiasa mengutamakan aspek keselamatan ketika berbasikal dan memanfaatkan kemudahan yang diberikan dengan sebaik-baiknya. – UTUSAN




