am@hmetro.com.my
Sungai Petani: Kebimbangan segelintir pihak mengenai kemungkinan penjawat awam memberi alasan berkaitan masalah gangguan internet atau gagal melaksanakan tugas ketika bekerja dari rumah (BDR) tidak sepatutnya timbul kerana semua aspek berkenaan perlu dinilai ketua jabatan sebelum kelulusan diberikan.
Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar berkata, semua ketua jabatan yang meluluskan permohonan BDR perlu bertanggungjawab memastikan pegawai mempunyai capaian internet yang baik, lokasi kerja sesuai dan mampu mencapai petunjuk prestasi utama (KPI) yang ditetapkan.
“Kesimpulannya mudah. Semua ketua jabatan yang memberikan kelulusan bekerja dari rumah ini, dia mesti bertanggungjawab atas kelulusan mereka.
“Sebelum kelulusan diberikan, mereka perlu memastikan internet okay tak okay, lokasi di mana dan KPI dah ada tak ada sebelum diluluskan. Jadi, pegawai yang bekerja dari rumah tidak perlu risau kerana itu tanggungjawab ketua jabatan,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas merasmikan Dewan Al-Amin sempena Majlis Penyerahan Projek Menaik Taraf Fasiliti Rekreasi dan Sukan serta Kerja-Kerja Berkaitan di Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Kampus Wilayah Utara (INTURA), di sini, hari ini.
Shamsul Azri berkata, pemantauan terhadap pegawai yang bekerja dari rumah turut dilaksanakan oleh ketua jabatan melalui KPI yang ditetapkan sebelum kelulusan diberikan.
Katanya, pegawai perlu menyiapkan tugasan yang dipersetujui sebelum menamatkan waktu bekerja dan penilaian dibuat berdasarkan hasil kerja yang disampaikan.
“Contohnya, macam untuk Ahmad (penjawat awam), kamu nak kerja dari rumah hari ini, kamu kena siapkan 14 tugasan.
“Sebelum dia clock out, 14 tugasan itu kena hantar dulu,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




