Bayindir hampir tinggalkan Man Utd

Bayindir hampir tinggalkan Man Utd

Manchester: Penjaga gol Manchester United, Altay Bayindir dilaporkan semakin hampir meninggalkan Old Trafford apabila kelab La Liga, Celta Vigo berada di landasan terbaik untuk mendapatkan khidmatnya secara pinjaman pada jendela perpindahan musim panas ini.

Menurut laporan media Sepanyol, rundingan antara kedua-dua kelab kini berada di peringkat akhir dengan Celta Vigo berharap dapat mengumumkan perpindahan penjaga gol Turkiye itu seawal minggu depan.

Bayindir dijangka menyertai kem latihan pramusim Celta Vigo di Itali sebaik urusan perpindahan dimuktamadkan.

Laporan turut menyebut pemain berusia 28 tahun itu dijangka menjalani pemeriksaan kesihatan sama ada pada Ahad atau Isnin sebelum diumumkan secara rasmi sebagai pemain baharu Celta Vigo.

Bayindir menyertai United pada musim panas 2023 ketika era pengurus Erik ten Hag, namun gagal mengukuhkan kedudukannya sebagai penjaga gol utama.

Sepanjang tiga musim bersama The Red Devils, dia hanya membuat 17 penampilan selepas sekian lama berada di belakang Andre Onana, sebelum kehadiran Senne Lammens musim ini menyaksikan persaingan semakin sengit.

Masa depan Bayindir di Old Trafford mula menjadi tanda tanya selepas United turut membawa masuk Karl Darlow secara perpindahan percuma pada jendela kali ini.

Walaupun dikaitkan dengan perpindahan ke Sepanyol, Bayindir tetap disenaraikan dalam skuad United untuk aksi persahabatan pramusim menentang Atletico Madrid di Stockholm, Sweden.

United memenangi perlawanan itu 2-1 hasil dua jaringan Bryan Mbeumo.

Buat masa ini, perpindahan Bayindir masih belum dimuktamadkan, namun semua petunjuk menunjukkan penjaga gol itu bakal menamatkan tempohnya di Old Trafford, sekurang-kurangnya menerusi perpindahan secara pinjaman.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top