
LaundryBar mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records bagi Anugerah Fastest Complete Wash-Dry Cycle Laundry Machine.
Syarikat tukar kepada francais dobi layan diri, City Coin Laundry Sdn Bhd terus memperkukuh kedudukan menerusi jenama LaundryBar, apabila inovasi mesin Turbo Wash & Dry yang diperkenalkan di rangkaian premisnya mendapat pengiktirafan The Malaysia Book of Records (MBOR) bagi Anugerah Fastest Complete Wash-Dry Cycle Laundry Machine.
Mesin tersebut mampu menyiapkan proses mencuci dan mengeringkan pakaian dalam hanya 40 minit tanpa perlu memindahkan pakaian ke mesin pengering.
Pengiktirafan terbaharu daripada MBOR bukanlah yang pertama diterima LaundryBar kerana syarikat tersebut sebelum ini, pernah mencipta rekod sebagai rangkaian dobi layan diri terbesar di Malaysia, diikuti pengiktirafan sebagai tukar kepada francais dobi layan diri terbesar di Asia Tenggara.
LaundryBar turut diiktiraf kerana memiliki bilangan ahli digital terbesar dalam industri dobi layan diri di Malaysia, dengan lebih 250,000 ahli.

Pengunjung yang hadir di reruai LaundryBar sempena Franchise Expo Malaysia 2026, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur.
Pengasas dan Pengarah Urusan Kumpulan City Coin, Paul Ang berkata, inovasi bukan sekadar mengenai teknologi, tetapi juga sebahagian usaha dalam meningkatkan pengalaman pelanggan.
Justeru menurutnya, pihaknya sentiasa meningkatkan pengalaman pelanggan dengan menyediakan talian khidmat pelanggan 24 jam sehari, menggunakan mesin berprestasi tinggi daripada Tosei Jepun serta terus memperkenalkan teknologi baharu bagi memudahkan kehidupan pengguna.
“Salah satu inovasi terbesar kami ialah memperkenalkan teknologi Tosei Combo Wash & Dry 40 Minutes Turbo Wash and Dry.
Kebiasaannya, pelanggan memerlukan antara satu hingga satu setengah jam untuk mencuci dan mengeringkan pakaian di dobi layan diri.
“Melalui teknologi terkini ini, keseluruhan proses mencuci dan mengeringkan pakaian dapat disiapkan hanya 40 minit menggunakan satu mesin sahaja.
“Kami bukan sekadar mempercepatkan proses mencuci. Kami mengubah cara orang ramai melihat pengalaman menggunakan dobi layan diri,” katanya kepada Sinar Bisnes.
Sumbang pertumbuhan ekonomi

Paul Ang (tengah) dan Pengarah Eksekutif LaundryBar, Sandra Chua Wuan Yeen (kiri) menerima pengiktirafan daripada The Malaysia Book of Records bagi Anugerah Fastest Complete Wash-Dry Cycle Laundry Machine disampaikan sempena Franchise Expo Malaysia 2026, di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).
Menurut beliau, teknologi berkenaan dibangunkan melalui proses penyelidikan dan pembangunan selama kira-kira dua hingga tiga bulan bagi menambah baik sistem sedia ada supaya lebih pantas dan praktikal.
“Masa itu emas. Setiap kitaran menjimatkan masa kira-kira 20 minit. Berdasarkan anggaran lima juta kitaran setahun, ia bersamaan 100 juta minit atau sekitar 1.67 juta jam yang dapat dijimatkan.
“Masa yang dijimatkan itu boleh dimanfaatkan untuk aktiviti yang produktif, sekali gus menyumbang kepada peningkatan produktiviti tenaga kerja dan pertumbuhan ekonomi negara.
“Pengguna dapat menikmati lebih banyak masa untuk kerja lain seperti belajar, waktu bersama keluarga dan bercuti,” katanya.
Paul Ang menambah, sehingga kini LaundryBar mempunyai kira-kira 550 cawangan di Malaysia dan lebih 300 cawangan di luar negara, termasuk di Thailand, Turki dan Brunei, dengan 160 kedai telah dilengkapi dengan mesin berkenaan.
Katanya, syarikat juga menyasarkan pembukaan sekitar 50 cawangan baharu di Malaysia tahun ini selain sedang giat mengadakan rundingan untuk memasuki pasaran Vietnam dan Kemboja.
“Kami bukan sahaja memfokuskan untuk membuka lebih banyak cawangan, tetapi juga memastikan setiap francaisi memperoleh pulangan pelaburan yang baik. Kejayaan francaisi adalah keutamaan kami,” katanya.

Paul Ang bersama Sandra Chua bergambar bersama sijil pengiktirafan Malaysia Book of Records yang diterima atas pencapaian menghasilkan mesin dobi layan diri kitaran basuh dan kering terpantas di Malaysia.
Cipta potensi Mengulas mengenai persaingan dalam industri dobi layan diri, beliau berkata, faktor yang membezakan sesebuah jenama bukan sekadar jumlah cawangan, tetapi kemampuan menawarkan nilai tambah kepada pelanggan.
Katanya, LaundryBar menghasilkan bahan pencuci seperti detergen, pelembut fabrik dan sanitizer melalui kilang milik syarikat yang mempunyai pasukan ahli kimia serta pensijilan halal.
“Semua produk pencuci yang digunakan di LaundryBar dihasilkan sendiri. Ini antara kelebihan yang membezakan kami daripada pesaing selain teknologi Turbo Wash & Dry yang memudahkan pelanggan,” katanya.
Dalam masa sama, beliau menasihatkan individu yang berminat membuka francais supaya membuat kajian terperinci sebelum melabur dan bukan sekadar mengikut trend.
Katanya, di LaundryBar, pihaknya akan menilai kesediaan bakal francaisi termasuk dari segi modal, komitmen dan kemampuan mengurus operasi sebelum meluluskan permohonan.
“Ramai yang membuka perniagaan kerana mahu memiliki sebuah kedai, tetapi tidak bersedia untuk menguruskannya.
“Kami mempunyai pasukan audit yang membuat pemeriksaan secara berkala. Standard perkhidmatan perlu dikekalkan kerana keyakinan pelanggan adalah aset paling penting kepada jenama kami.
“LaundryBar kami cipta lebih masa untuk anda,” katanya.



