Ariana Grande berehat daripada perhatian umum, tarik diri daripada teater muzikal London

Ariana Grande berehat daripada perhatian umum, tarik diri daripada teater muzikal London

Washington: Bintang pop, Ariana Grande menarik diri daripada kemunculan sulungnya di pentas West End, London, kata penerbit pementasan itu pada Ahad manakala wakil penyanyi berkenaan memaklumkan beliau mahu ‘berehat’ daripada perhatian umum.

Penyanyi berusia 33 tahun itu sebelum ini dijadualkan membintangi teater muzikal karya Stephen Sondheim, Sunday in The Park with George yang akan dipentas di Teater Barbican, London pada musim panas 2027.

Beliau sepatutnya bergandingan dengan rakan pelakon daripada filem Wicked, Jonathan Bailey.

Namun, ketika perhatian awam kembali tertumpu terhadap keadaan kesihatannya terutama di media sosial, wakil Grande berkata, penyanyi itu mahu mengambil “rehat yang amat wajar daripada pekerjaan dan kemunculan di hadapan awam” selepas menamatkan siri jelajah Eternal Sunshine di London pada 1 September 2026.

“Kami mengesahkan bahawa beliau memutuskan untuk menarik diri daripada Sunday in The Park with George,” kata penerbit pementasan itu dalam satu kenyataan yang dimuat naik di akaun rasmi X rancangan berkenaan tanpa menjelaskan sebab penarikan diri Grande.

“Kami memahami bahawa ini bukan keputusan yang mudah dan ia dibuat dengan kefahaman serta sokongan penuh daripada kami,” menurut kenyataan itu.

Penerbit turut memaklumkan pementasan itu akan diteruskan seperti dirancang manakala barisan pelakon baharu akan diumumkan pada masa akan datang.

“Kami tidak mengharapkan apa-apa selain yang terbaik buat beliau,” katanya.

Wakil Grande memberitahu majalah People bahawa walaupun penyanyi pemenang Anugerah Grammy itu teruja untuk meneruskan jelajah berkenaan, beliau kini mahu “berehat daripada tumpuan awam”.

Menurut wakilnya, kemunculan Grande yang kerap sebelum ini “mencetuskan perhatian awam secara berterusan tanpa henti”.

Kebimbangan peminat terhadap keadaan kesihatannya timbul sebelum ini terutama selepas pelancaran video muzik Petal pada Jumaat yang menunjukkan penyanyi bertubuh kecil itu kelihatan mengalami penurunan berat badan yang ketara.

Grande sebelum ini pernah menyuarakan bahawa komen berunsur hinaan terhadap bentuk fizikal (body-shaming) adalah “sangat berbahaya”.

Beliau memulakan kerjayanya sebagai pelakon remaja di Broadway sebelum mencipta nama dalam industry muzik pop dan menjadi antara penyanyi paling berjaya.

Lakonannya sebagai Glinda dalam filem adaptasi Wicked membolehkannya menerima pencalonan Anugerah Akademi (Oscar) bagi kategori Pelakon Pembantu Wanita Terbaik.

Bagaimanapun, kejayaan besar filem berkenaan dan kesinambungannya, Wicked: For Good menyebabkan Grande perlu menjalani jadual kemunculan media yang padat hampir dua tahun.

Grande juga dijadualkan membintangi filem komedi Focker-in-Law bersama Ben Stiller dan Robert De Niro, yang bakal ditayangkan di pawagam pada November 2026.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top