Lampu jalan solar tidak sesuai guna di semua tempat

Lampu jalan solar tidak sesuai guna di semua tempat

KUALA LUMPUR: Penggunaan lampu jalan jenis LED Solar Bersepadu (ISLED) tidak boleh dilaksanakan di semua tempat, sebaliknya perlu mengambil kira kesesuaian lokasi, keperluan teknikal dan kos kitaran hayat.

Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata, penggunaan ISLED lebih sesuai dilaksanakan di lokasi yang jauh daripada grid bekalan elektrik, kawasan yang kerap mengalami kecurian kabel atau vandalisme serta jalan kampung dan kawasan pedalaman.

Menurut beliau, pendekatan itu akan dapat mengurangkan keperluan pembinaan infrastruktur bekalan elektrik yang baharu serta memudahkan aspek penyenggaraan

“Pada masa ini, penggunaan lampu jalan solar lebih sesuai dilaksanakan di lokasi yang jauh daripada grid bekalan elektrik, kawasan yang kerap mengalami kecurian kabel atau vandalisme serta jalan kampung dan kawasan pedalaman.

“Pendekatan ini dapat mengurangkan keperluan pembinaan infrastruktur bekalan elektrik yang baharu serta memudahkan aspek penyenggaraan,” katanya di Dewan Negara, hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Datuk Anna Bell Perian mengenai kesediaan kerajaan untuk menggantikan tiang lampu lama dengan lampu solar.

Alexander berkata, penggantian lampu jalan LED konvensional yang rosak di kawasan yang mempunyai bekalan elektrik masih merupakan pilihan yang lebih ekonomi kerana kos pemasangan ISLED lebih tinggi

“Di samping itu, komponen bateri merupakan antara komponen yang paling kerap memerlukan penggantian dan kosnya dianggarkan sekitar 60 peratus daripada harga keseluruhan kelengkapan lampu.

“Sehubungan itu, Kementerian Kerja Raya akan terus menilai penggunaan lampu jalan solar secara bersasar dari semasa ke semasa berdasarkan kesesuaian teknikal, keberkesanan kos, aspek penyenggaraan dan manfaat teknologi hijau bagi memastikan pelaburan memberi nilai terbaik kepada Kerajaan dan rakyat,” katanya. – UTUSAN

Scroll to Top