Pertandingan cuci cermin, peserta buru masa terpantas

Pertandingan cuci cermin, peserta buru masa terpantas

London: Siapa sangka kerja mencuci cermin mempunyai dunia persaingan tersendiri, malah memerlukan kepantasan, ketepatan dan latihan seperti seorang atlet professional, lapor Oddity Central.

Bagi peserta World Window Cleaning World Cup, setiap gerakan tangan, sapuan pengelap cermin dan titisan air boleh menentukan kemenangan atau kekalahan.

Di sebalik pekerjaan yang kelihatan biasa itu, wujud pertandingan bertaraf dunia yang menguji kemahiran pencuci cermin terbaik dengan sasaran mudah tetapi mencabar iaitu membersihkan tiga keping cermin bersaiz 45 inci x 45 inci (1.14 meter x 1.14 meter) dalam masa paling singkat tanpa meninggalkan sebarang kesan.

Legenda pertandingan itu, Terry Burrows, 71, dianggap sebagai “Usain Bolt” dalam dunia pencucian cermin selepas mencipta rekod dunia pada 2009 apabila berjaya membersihkan tiga cermin berkenaan dengan sempurna dalam hanya 9.14 saat.

“Apa yang saya lakukan, orang yang separuh usia saya pun belum tentu mampu melakukannya. Anda bukan sekadar melakukan kerja ini, anda sebaliknya berlatih bersungguh-sungguh untuk menguasainya,” katanya kepada akhbar The Independent.

Burrows yang masih aktif menyertai kejohanan berkenaan membuktikan bahawa kemahiran mencuci cermin bukan sekadar bergantung kepada kekuatan fizikal tetapi memerlukan teknik, koordinasi tangan dan ketepatan luar biasa.

Dalam pertandingan itu, peserta hanya dibenarkan menggunakan peralatan standard termasuk pengelap cermin bersaiz 12 inci (300 milimeter), pemohon 14 inci (350 milimeter), kain scrim, air dan bahan pencuci cermin.

Dengan tiga juri memerhati setiap pergerakan, peserta perlu menggerakkan pengelap dalam corak bentuk S bagi memastikan setiap bahagian kaca bersih sebelum menjerit “Berhenti!” untuk menghentikan pemasa.

Namun, kemenangan bukan hanya ditentukan oleh kepantasan. Setiap kesan garisan, titisan air atau cela kecil boleh mengundang penalti. Kesan garisan biasa dikenakan tambahan masa 0.5 saat manakala kesan lebih ketara boleh menyebabkan penalti satu saat.

Tiga juri terlatih akan meneliti setiap permukaan kaca bagi memastikan tiada kecacatan kecil terlepas daripada perhatian.

Juara kejohanan itu membawa pulang hadiah wang tunai 1,000 pound sterling (kira-kira RM5,850) tetapi bagi peserta, penghormatan sebenar ialah gelaran sebagai pencuci cermin terpantas dan terbaik dalam kalangan profesional seluruh dunia.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top