PH boleh beri cabaran sengit pada PRN Melaka

PH boleh beri cabaran sengit pada PRN Melaka

 

JOHOR BAHRU – Cabaran sengit mampu diberikan Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memandangkan UMNO tidak memiliki kekuatan di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN).

Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hassan Abdul Karim berkata, dakwaan itu berasas berikutan UMNO tidak menang sebarang kerusi Parlimen di negeri itu, sekali gus menunjukkan parti itu tidak memiliki prestasi baik di peringkat DUN.

“Parti lain seperti PAS ada dua kerusi Parlimen pada PRU15 manakala DAP dan Parti Keadilan Rakyat juga memiliki kerusi parlimen bagi negeri Melaka.

“Jadi kedudukan UMNO di Dun Melaka tidak kuat dan boleh dicabar,” katanya selepas majlis penyerahan sebuah sampan kepada sukarelawan skuad bencana dan minum pagi bersama-sama komuniti flat Taman Molek di sini pada Isnin.

Keyakinqn itu berdasarkan rekod PKR yang pernah dua kali menewaskan Ketua Menteri Melaka mewakili Barisan Nasional di Dun Bukit Katil semasa pilihan raya terdahulu.

Justeru, PH perlu menyusun strategi tepat dan tidak mengulangi faktor kekalahan di tiga PRN sebelum ini.

“PH kena tunjukkan prestasi baik dan tidak perlu strategi yang bukan-bukan. Jangan sampai ditertawakan kerana keutamaan harus menang banyak kerusi,” katanya.

Beliau turut mencadangkan pemimpin tempatan sebagai Pengarah PRN Melaka bagi menarik sokongan pengundi bukannya seperti di Johor dan Negeri Sembilan yang diketuai Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari.

“Datuk Seri Amirudin diminta rehat dahulu, dan kempen nanti mesti Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim juga boleh turun berkempen,” katanya.

 

 

Scroll to Top