Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menggesa semua pihak supaya tidak bersikap selektif dalam melemparkan tuduhan berhubung isu anjing liar di negeri itu.

Memetik laporan Harian Metro, beliau berkata, kerajaan negeri sentiasa komited memastikan keselamatan awam dan pada masa sama menjaga kebajikan haiwan, dengan kedua-dua aspek itu perlu diseimbangkan.
“Kita akan ambil mengambil tindakan berterusan terhadap anjing liar… cuma kerajaan negeri kena bertindak demi kemaslahatan umum.
“Tindakan dibuat, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang juga bangkitkan isu keselamatan rakyat tetapi kenapa tuduhan dikenakan oleh pihak tertentu, pihak luar.
“Sebab itu saya sebutkan titik keseimbangan. Titik keseimbangan adalah kita perlu buat tindakan, elakkan daripada peristiwa anjing berkeliaran yang menyebabkan faktor keselamatan.
“Jadi, jangan selektif dalam membuat tuduhan (terhadap isu berkenaan),” katanya ketika diminta mengulas dakwaan bahawa kebajikan haiwan lebih diutamakan berbanding keselamatan rakyat yang menjadi mangsa serangan anjing liar.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Himpunan Penjawat Awam bersama Menteri Besar Selangor di Auditorium Jubli Perak, Bangunan SUK Selangor, di sini, hari ini.
Dalam pada itu, Ahli Parlimen Gombak itu turut memaklumkan bahawa perkara itu pernah dibangkitkan oleh Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin, yang mahu individu menganiaya haiwan dikenakan tindakan mengikut undang-undang.
“Janganlah marah jika ada orang prihatin dalam bab kebajikan haiwan sebab kita juga menjaga kebajikan manusia.
“Jangan sampai bertindak zalim terhadap haiwan sebaliknya mendidik orang dengan sifat keinsanan,” jelasnya.
Artikel lain: Selangor teliti keperluan PRK jika ada kekosongan kerusi DUN – Amirudin Shari
Sebelum ini, operasi menangkap anjing liar yang dijalankan oleh Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) di Taman Teluk Gedung Indah pada bulan lalu menjadi tular dan mencetuskan kontroversi selepas seekor anjing dilaporkan mati ketika operasi berkenaan.
Kes tersebut kini sedang disiasat oleh polis.
Sumber: Harian Metro (Ruwaida Md Zain)




