KUALA LUMPUR: Amerika Syarikat (AS) akan terus memperkukuh hubungan rapat dengan Malaysia, termasuk dalam bidang pertahanan.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkara, perkara itu antara yang disentuh dalam kunjungan hormat Duta Besar Amerika Syarikat ke ASEAN, Kevin Kim, sempena Persidangan Undang-Undang Ketenteraan dan Operasi Antarabangsa Ke-37 Komando Pasifik Amerika Syarikat (MILOPS) 2026 hari ini.
“Mereka menyatakan akan terus memberi perhatian dalam meningkatkan dan memperkukuhkan hubungan erat antara kedua-dua negara, termasuk dalam sektor pertahanan,” katanya ketika ditemui selepas pertemuan itu.
Persidangan Tahunan MILOPS Ke-37 berlangsung di Kuala Lumpur dari 3 hingga 6 Ogos, menghimpunkan pegawai kerajaan dan wakil ketenteraan dari lebih 30 negara bagi membincangkan cabaran keselamatan serantau serta meningkatkan kerjasama dalam bidang undang-undang dan operasi ketenteraan.
Mohamed Khaled berkata, pertemuan tersebut hanya memberi tumpuan kepada usaha memperkukuhkan hubungan sedia ada dan tidak melibatkan perbincangan berkaitan dasar.
Beliau turut menerima kunjungan hormat daripada Setiausaha Agung ASEAN, Dr. Kao Kim Hourn dan Setiausaha Tetap Kementerian Pertahanan Singapura, Joseph Leong.
Dalam pertemuan bersama Kim Hourn, Khaled berkata mereka membincangkan cabaran yang dihadapi ASEAN serta usaha memperkukuhkan peranan sektor pertahanan dalam mempertahankan keutamaan ASEAN, keamanan, kestabilan dan kemakmuran serantau.
Katanya, sektor pertahanan memainkan peranan penting dalam menyokong matlamat ASEAN selain meningkatkan kerjasama antara negara anggota.
Sementara itu, dalam pertemuan bersama Leong, Khaled berkata Singapura turut menyatakan komitmen untuk terus memperkukuhkan kerjasama dengan Malaysia.
“Kerjasama itu bukan sahaja melibatkan hubungan dua hala, tetapi turut merangkumi kerjasama pelbagai hala di peringkat ASEAN serta melalui Peraturan Pertahanan Lima Negara (FPDA),” katanya. – UTUSAN




