Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK) menegaskan tiada sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) berlaku dalam operasi tangkapan anjing liar yang mengakibatkan kematian seekor anjing di Taman Teluk Gedung Indah, Klang, minggu lalu.
Insiden terjadi disebabkan perebutan
Memetik laporan daripada Harian Metro, Datuk Bandar MBDK, Datuk Abd Hamid Hussain menyatakan, insiden itu berlaku akibat perebutan oleh seorang individu yang mengaku sebagai pemilik anjing berkenaan sehingga mengganggu operasi dijalankan.

Berjaya tangkap 12 ekor dengan bantuan penduduk, tapi…
Menurut beliau, kaedah tangkapan menggunakan gelung (loop) atau jaring adalah mengikut SOP yang ditetapkan oleh Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT).
Ujarnya lagi, operasi pada malam kejadian berjaya menangkap 12 ekor anjing sebelum insiden berlaku ketika cubaan menangkap anjing ke-13.
“Kalau ikut penjelasan pegawai dan anggota terlibat, kita mengikut SOP ditetapkan. Tangkapan menggunakan loop ataupun menggunakan jaring, itulah kaedah yang kita gunakan.
“Pada operasi malam tersebut, kita telah pun berjaya menangkap 12 ekor anjing dengan kerjasama daripada penduduk. Cuma insiden berlaku apabila kita cuba menangkap anjing yang ke-13.
“Akibat daripada perebutan oleh penduduk yang mengaku sebagai pemilik itu, anjing berkenaan terjerut sehingga menyebabkan kematiannya,” katanya ketika ditemui pemberita di lobi Wisma Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor.

Mula-mula mengaku pemilik kemudian nafi pula
Abd Hamid menambah, individu terbabit sepatutnya membuat tuntutan terhadap anjing itu selepas ia ditangkap mengikut prosedur.
Walau bagaimanapun, beliau mendakwa individu berkenaan kemudian menafikan bahawa haiwan itu miliknya, menyebabkan kes tersebut diserahkan kepada polis untuk siasatan lanjut.
“Kalau ikut kenyataan awal, dia cakap anjing itu miliknya, tapi akhir sekali dia cakap bukan pula. Jadi kita tak tahu. Jadi, kita serahkan kepada polis menjalankan siasatan dan tindakan lanjut akan dibuat selepas siasatan selesai.
“Setakat ini, dua orang pegawai MBDK yang berkaitan telah pun dipanggil untuk memberi keterangan di balai polis,” katanya.

Beliau turut memaklumkan MBDK menerima kira-kira 50 aduan berkaitan anjing liar setiap bulan dan operasi dijalankan bagi menjaga keselamatan penduduk.
Sebelum ini, polis mengesahkan kes berkenaan disiasat mengikut Seksyen 428 Kanun Keseksaan atas kesalahan khianat dengan membunuh haiwan.
Sumber: Harian Metro (Norzamira Che Nor)




