ISKANDAR PUTERI – Kontinjen Sukan Malaysia (SUKMA) Johor menyasarkan kutipan 45 pingat emas serta menamatkan saingan dalam kelompok tiga terbaik pada temasya SUKMA Selangor yang berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos ini.
Pengerusi Jawatankuasa Belia, Sukan, Pembangunan Usahawan dan Koperasi Negeri Johor, Mohd Hairi Mad Shah berkata, seramai 689 atlet, dibantu 150 jurulatih dan 48 pengurus, akan bertanding dalam 379 acara membabitkan 37 jenis sukan.
Beliau yang juga Chef de Mission turut memaklumkan pemenang pingat emas akan menerima ganjaran RM10,000 bagi acara individu serta berpasangan.
“Bagi atlet berpasukan yang terdiri daripada tiga hingga enam orang, ganjaran yang diterima ialah RM9,000 seorang, manakala pasukan yang melebihi tujuh orang akan menerima RM8,500 setiap seorang.
“Bagi pemenang pingat perak dan gangsa pula, mereka akan menerima ganjaran wang tunai bermula RM1,000 hingga RM750,” katanya selepas menghadiri Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen Johor di Bangunan Temenggong Ibrahim, di sini, pada Isnin.
Menurutnya, ganjaran itu turut diberikan kepada atlet para Johor yang dijadualkan bertanding dari 5 hingga 14 September.
Seramai 110 atlet para akan mewakili Johor bersama 23 jurulatih dan 28 pegawai dalam 10 jenis sukan yang dipertandingkan.
Kontinjen Johor muncul juara keseluruhan SUKMA buat pertama kali ketika temasya itu berlangsung di Kuala Lumpur pada 2022 selepas meraih 77 pingat emas, 52 pingat perak dan 43 pingat gangsa.
Dua tahun lalu di Sarawak, Johor menduduki tangga keenam keseluruhan selepas membawa pulang 35 pingat emas.
Sementara itu, beliau melahirkan rasa kesal apabila sukan kanu yang menjadi lubuk pingat emas atlet Johor tidak dipertandingkan dalam dua edisi terakhir.
“Saya agak kesal sukan ini tidak dipertandingkan kerana ia merupakan sukan bertaraf Olimpik yang mampu memberi pendedahan kepada atlet untuk memantapkan kemahiran dalam acara berkenaan.
“Saya berharap Kementerian Belia dan Sukan dapat meneliti semula situasi ini bagi memberi peluang kepada atlet bertanding sama ada di dalam atau di luar negara,” katanya.



