KUALA LUMPUR: Dewan Negara hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (Pindaan) 2026 selepas mendapat sokongan suara majoriti.
Pindaan itu bertujuan meningkatkan peranan, fungsi, tadbir urus dan operasi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), selain memperkukuh fungsi kawal selia industri komunikasi negara.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, MCMC merekodkan penurunan lebih 222,000 kandungan berkaitan perjudian dalam talian dalam tempoh tujuh bulan pertama tahun ini, sekali gus mencerminkan tindakan penguatkuasaan digital yang semakin agresif.
Beliau berkata, jumlah kandungan yang diturunkan oleh pengendali platform media sosial meningkat secara mendadak daripada hanya dua kandungan pada 2022 kepada 18,814 kandungan pada 2023, 189,484 kandungan pada 2024 dan 289,486 kandungan pada 2025.
“Setakat 31 Julai tahun ini, sebanyak 222,257 kandungan berkaitan perjudian dalam talian telah diturunkan.
“Tindakan penurunan itu dibuat atas permintaan MCMC dan juga oleh penyedia perkhidmatan. Dalam tempoh 2022 hingga 31 Julai tahun ini juga, sebanyak 6,982 laman sesawang perjudian telah disekat,” katanya ketika menggulung perbahasan.
Nie Ching berkata, kegiatan perjudian secara amnya terletak di bawah bidang kuasa Polis Diraja Malaysia (PDRM), manakala MCMC berperanan memberikan bantuan teknikal, analisis forensik digital serta menyekat akses berdasarkan permintaan rasmi agensi penguat kuasa.
Beliau berkata, pindaan RUU itu turut melarang ahli politik dilantik sebagai Pengerusi suruhanjaya berkenaan.
“Pengerusi tidak boleh terdiri daripada anggota badan perundangan. Ahli Parlimen tidak boleh, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) juga tidak boleh.
“Pindaan yang dibawa ini adalah bagi memastikan kuasa menteri dalam membuat pelantikan dihadkan supaya individu yang dilantik benar-benar berkelayakan,” katanya. – UTUSAN




