LUMUT – Kementerian Kerja Raya (KKR) memberi jaminan konsep kabin yang digunakan bagi pembinaan bilik darjah tambahan adalah selamat susulan kemasukan murid enam tahun ke Tahun Satu bermula tahun hadapan.
Timbalan Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, kemudahan melalui konsep Modular Precast System (MPS) tersebut adalah kukuh dan berkualiti meskipun disiapkan dalam tempoh singkat.
“Tidak ada sebab kenapa kita tidak percaya kepada kaedah yang kita gunakan.
“Dengan teknologi yang ada sekarang, bangunan boleh disiapkan lebih awal tanpa menjejaskan kualiti dan keselamatan,” katanya.
Beliau berkata demikian dalam sidang media selepas lawatan kerja ke tapak projek pembinaan bangunan prasekolah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Samudera di Manjung di sini pada Isnin.
Hadir sama, Pengarah Jabatan Kerja Raya (JKR) Perak, Ir Zamri Mat Kasim.
Ahmad berkata, terdapat contoh di negara luar seperti di China yang berjaya menyiapkan bangunan setinggi 10 tingkat dalam tempoh kurang 29 jam serta bangunan 57 tingkat dalam masa 19 hari.
“Jadi, untuk bangunan satu tingkat yang disiapkan dalam tempoh tiga hingga empat bulan, ia bukan satu isu,” katanya.
Dalam pada itu, beliau memaklumkan, sebanyak 29 projek melibatkan kategori kabin dan dewan serbaguna terbuka telah diluluskan di Perak dengan kos RM34.2 juta di bawah Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13).
Katanya, daripada jumlah itu, 25 projek sedang dalam pembinaan manakala empat lagi di peringkat perancangan melibatkan beberapa daerah termasuk Kinta, Manjung, Batang Padang dan Muallim.
“Projek ini penting bagi menampung keperluan kelas tambahan susulan kemasukan murid Tahun Satu berumur enam tahun dan semua projek ini disasarkan siap menjelang Disember ini.
“Kebanyakan projek menggunakan kaedah MPS yang membolehkan pembinaan sekolah berbentuk kabin lengkap dengan kemudahan asas serta memenuhi standard keselamatan,” katanya.
Sementara itu, mengulas mengenai projek di SK Seri Samudera, Ahmad berkata, pembinaan bangunan prasekolah itu melibatkan dua bilik darjah serta pelbagai kemudahan lain termasuk ruang makan, bilik penyediaan makanan dan taman permainan.
Menurutnya, projek bernilai RM2.29 juta itu berjaya disiapkan 53 hari lebih awal daripada jadual ditetapkan.
“Apabila projek berjaya disiapkan dengan baik, ia kerana pengurusan pekerja, bahan, jadual dan pembayaran dilaksanakan secara teratur.
“Selain itu, peranan pegawai JKR sebagai Superintending Officer yang sentiasa memantau di lapangan turut menjadi faktor penting,” katanya.



