Destinasi terakhir di Genting Highlands sebelum tragedi meragut empat nyawa di Janda Baik

Destinasi terakhir di Genting Highlands sebelum tragedi meragut empat nyawa di Janda Baik

TEMERLOH: Hasrat meluangkan masa bersama keluarga di Genting Highlands kenangan terakhir buat Ketua Pemuda UMNO Bahagian Maran, Mohd. Radzi Rahimi, 40, apabila perjalanan pulang mereka berakhir dengan tragedi pokok tumbang yang mengorbankan empat nyawa di Jalan Lama Kuala Lumpur-Bentong, dekat Janda Baik, hari ini.

Bapa Allahyarham, Rahimi Abd. Samad, 63, berkata, tiada sebarang perubahan ditunjukkan anak sulung daripada empat beradik itu ketika kali terakhir menziarahinya di rumah mereka di Taman Maran Jaya, Khamis lalu.

Katanya, pertemuan itu kini menjadi kenangan terakhir yang akan sentiasa terpahat dalam ingatannya selepas menerima berita menyayat hati kemalangan yang meragut nyawa anak, menantu, cucu dan adik menantunya.

“Arwah datang ke rumah seperti biasa. Kami berbual, bergurau dan makan bersama. Saya langsung tidak nampak perubahan pada dirinya. Kalau saya tahu itu pertemuan terakhir, tentu saya mahu berbual lebih lama dengannya,” katanya ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (HOSHAS) di sini.

Menurut Rahimi, Mohd. Radzi sebelum itu menyertai program permotoran di Pulau Pangkor bersama rakan-rakan dengan menunggang motosikal, manakala isterinya, Nuriani Mohammad Jafri, 36, bersama dua anak kembar mereka menaiki sebuah Ford Raptor.

Selepas program berkenaan selesai, arwah tidak terus pulang ke Maran, sebaliknya mengambil peluang membawa keluarganya menikmati suasana di Genting Highlands.

Rahimi berkata, anaknya sememangnya gemar meluangkan masa bersama keluarga setiap kali mempunyai kesempatan walaupun sibuk dengan urusan kerja dan tanggungjawab dalam parti.

“Dia sayang keluarga. Kalau ada masa lapang, dia akan bawa isteri dan anak-anak berjalan. Sebab itu mereka singgah di Genting Highlands sebelum pulang. Tak sangka kegembiraan mereka di sana menjadi kenangan terakhir kami sekeluarga,” katanya dalam nada sebak.

Beliau berkata, selepas selesai bercuti, Mohd. Radzi meminta seorang rakannya membawa pulang motosikal yang digunakan di Pulau Pangkor dari Bentong ke Maran.

Katanya, arwah anaknya itu kemudian memilih meneruskan perjalanan menaiki Ford Raptor bersama isteri, dua anak kembar mereka dan adik iparnya supaya dapat pulang bersama sebagai sebuah keluarga.

“Semalam mereka di Genting Highlands. Hari ini mereka sepatutnya selamat tiba di Maran. Namun Allah lebih menyayangi mereka,” katanya.

Menurut Rahimi, beliau hanya mengetahui kejadian itu selepas menerima panggilan telefon daripada saudara yang memaklumkan anaknya terbabit dalam kemalangan.

Jenazah Mohd. Radzi, isterinya, Nuriani Mohammad Jafri, seorang anak mereka, Muhammad Rizz Hazim dan adik iparnya, Mohammad Nizam dijangka dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Taman Sri Chedung, Maran selepas selesai urusan bedah siasat. – UTUSAN

Scroll to Top