Harta cecah RM32 juta, pasangan selebriti buka tabung kahwin cetus kecaman

Harta cecah RM32 juta, pasangan selebriti buka tabung kahwin cetus kecaman

Los Angeles: Walaupun dilaporkan memiliki kekayaan terkumpul sekitar AS$8 juta (kira-kira RM32.7 juta), pasangan selebriti AnnaLynne McCord dan Danny Cipriani tetap membuka tabung sumbangan awam bagi menampung kos perkahwinan mereka, tindakan yang mencetuskan kecaman netizen.

AnnaLynne McCord, 39, yang terkenal menerusi wataknya dalam drama bersiri 90210 dan Danny Cipriani, 38, bekas pemain kesatuan ragbi England mengambil langkah berani dengan membuka pendaftaran derma bagi menampung kos majlis perkahwinan mereka yang dijadualkan pada 22 Oktober.

Menurut laporan Page Six, pasangan itu mewujudkan pendaftaran menerusi platform Honeyfund yang menyenaraikan pelbagai perbelanjaan berkaitan perkahwinan untuk disumbangkan oleh penyokong mereka supaya McCord dan Cipriani dapat menikmati hari bahagia serta pengalaman bulan madu yang sempurna.

“Berikan apa sahaja jumlah yang anda mampu untuk menyumbang kepada perjalanan kami. Bantu kami mencipta pengalaman perkahwinan dan bulan madu impian dengan sebarang jumlah sumbangan,” menurut kenyataan dalam pendaftaran berkenaan.

Antara perbelanjaan yang disenaraikan termasuk AS$600 (kira-kira RM2,455) untuk pembinaan lokasi majlis, AS$300 (kira-kira RM1,228) bagi khidmat jurugambar dan AS$1,200 (kira-kira RM4,910) untuk gubahan bunga.

Malah, penderma turut diberi pilihan menyumbang AS$100 (kira-kira RM409) bagi kos lesen perkahwinan pasangan itu.

Sumbangan umum juga dibuka dengan nilai serendah AS$10 (kira-kira RM40) hingga AS$5,000 (kira-kira RM20,000).

Bagaimanapun, tindakan pasangan itu menerima kritikan hebat pengguna media sosial yang menyifatkannya sebagai “tidak sesuai” dan “keterlaluan” memandangkan status kewangan mereka. “Malu dan beraninya mereka melakukan perkara ini,” tulis seorang pengguna di platform X.

“Ini sangat memalukan. Saya fikir pempengaruh yang menerima tajaan perkahwinan pun sudah cukup menggelikan hati tetapi meminta wang tunai? Ini benar-benar tahap tidak tahu malu yang luar biasa,” kata seorang lagi pengguna.

McCord mula mencipta nama pada 2007 menerusi watak Eden Lord dalam siri popular Nip/Tuck sebelum popularitinya melonjak selepas membawa watak gadis jahat, Naomi Clark dalam drama 90210 dari 2008 hingga 2013 manakala watak terbaharunya ialah dalam drama bersiri popular yang sudah lama bertahan, Days of Our Lives, yang mula dibintanginya sejak 2024.

Sementara itu, Cipriani yang dilahirkan di London mengumpul kekayaan menerusi kerjaya ragbinya selepas beraksi bersama beberapa kelab terkenal termasuk Wasps, Sale Sharks, Gloucester, dan Bath sepanjang dua dekad pembabitannya dalam sukan itu. Dia juga pernah beraksi di Australia bersama pasukan Melbourne Rebels dalam kejohanan Super Rugby dari 2011 hingga 2012 selain menjadi antara pemain utama pasukan berkenaan.

Bintang Britain itu melamar McCord di hadapan keluarga dan rakan terdekat di kediaman mereka di sini pada Hari Krismas tahun lalu dengan menghadiakan cincin berlian potongan zamrud 15 karat yang bertatah emas kuning.

Pasangan berkenaan pertama kali bertemu menerusi aplikasi janji temu eksklusif untuk selebriti, Raya pada 2016 dan menjalinkan hubungan secara putus-sambung selama beberapa tahun sebelum berpisah pada 2020.

Bagaimanapun, McCord kembali bersama Cipriani selepas berhubung semula pada 2024.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top