'Industri alih suara tak lagi serancak dahulu'

'Industri alih suara tak lagi serancak dahulu'

redzuan.muharam@hmetro.com.my

Kuala Selangor: Bukan tempoh singkat kerana 16 tahun Luqman Mutalib ‘mencari makan’ dalam dunia alih suara di negara ini.

Akibat kurangnya tawaran, Luqman tiada pilihan melainkan kembali aktif sebagai pengacara majlis yang juga pernah menjadi lubuk rezekinya satu ketika dahulu.

Meskipun begitu, Luqman, 44, yang menetap di Puncak Alam, dekat sini, belum bersara sebagai pelakon alih suara namun situasi semasa menyebabkannya tidak melakukan pekerjaan itu secara sepenuh masa.

Demi kelangsungan hidup, dia lebih aktif sebagai pengacara majlis di acara keramaian kerana melihat kerjaya itu sebagai alternatif menjana pendapatan dan memberinya peluang memanfaatkan bakat.

Bercerita lanjut, Luqman berkata, industri alih suara masih bernyawa, malah dia sendiri masih aktif dan menerima tawaran jika bersesuaian dengan masanya.

“Cuma industri alih suara tak serancak dahulu kerana kurangnya peluang termasuk sebagai pelakon alih suara bagi dokumentari. Harapkan kartun sahaja, itu pun tak banyak.

“Jika dahulu keluar pergi kerja pagi dan balik Subuh keesokannya, sampai macam tak cukup masa untuk bernafas.

“Sekarang tak macam dahulu. Tawaran masih ada, cuma dalam seminggu hanya sekali dua saja. Awalnya pening juga memikirkannya tapi lama-kelamaan ‘okay’.

“Saya kena biasakan diri dan cari peluang lain dengan ambil tawaran jadi pengacara majlis dua tahun lalu berbekalkan kemahiran serta pengalaman yang ada sebagai alternatif menyara keluarga,” katanya ketika ditemui Harian Metro di sebuah restoran di Puncak Alam, dekat sini, baru-baru ini.

Mengimbas kenangan sewaktu bergiat aktif, Luqman berkata, dia pernah diberi kepercayaan menjadi pelakon alih suara bagi beberapa watak ikonik antaranya Batman, Kamen Rider, Sponge Bob, Thor, karakter dalam siri Disney selain pencerita bagi Mobile Legend.

Bertitik tolak dari situ, dia mendapat pulangan lumayan hingga boleh membeli apa diinginkan termasuk kereta buat isterinya.

“Ikutkan tiada siapa ajak saya ceburi bidang ini. Saya nampak iklan dalam talian, kemudian cuba nasib pergi uji bakat dan terpilih.

“Tak sangka akan ‘melekat’ sampai sekarang dan kepuasannya bila orang puas dan dapat rasa sedih, marah dan menyampah bila dengar suara satu-satu karakter yang saya bawakan,” katanya.

Luqman berkata, bukan hanya dirinya malah ada beberapa rakan lain yang terkesan hingga beralih arah dengan menceburi bidang keusahawanan dan e-hailing.

“Itu yang saya lakukan kerana banyak masa, jadi kena isi dan cari duit dengan ambil tawaran sebagai pengacara majlis.

“Saya perlu buat demi kelangsungan hidup kerana permintaan menjadi pelakon alih suara kurang dan tak mustahi teknologi kecerdasan buatan (AI) boleh menggantikannya satu hari nanti walaupun buat masa ini, ia tak boleh sampaikan emosi seperti manusia.

“Cuma selagi ada tawaran sebagai pelakon alih suara, saya akan terima kerana masih mencintai bidang itu.

“Lagipun industri alih suara ini penting kerana beri pengaruh besar kepada kanak-kanak dalam penguasaan bahasa, misalnya jika mereka menonton kartun.

“Tak sama seperti di negara jiran seperti Indonesia dan Thailand yang lebih meluas pengaruh bidang alih suara kerana masih diperlukan hingga orang yang mendengar tercari-cari siapa pemilik suara sebenar,” katanya yang mengharap ada sinar untuk pemain industri alih suara terus mengetengahkan bakat dan mencari rezeki.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top