Tanah runtuh Bukit Antarabangsa: Menggalas amanah di 'ground zero'

Tanah runtuh Bukit Antarabangsa: Menggalas amanah di 'ground zero'

lokman.khairi@hmetro.com.my

Pada 6 Disember 2008, negara sekali lagi dikejutkan dengan tragedi tanah runtuh di Bukit Antarabangsa, Hulu Kelang yang mengorbankan empat nyawa manakala ratusan yang lain cedera.

Dalam kejadian sekitar 4 pagi itu, ribuan penghuni sedang nyenyak tidur merasa gegaran amat dahsyat, namun tidak semua daripada mereka dapat menyelamatkan diri.

Di tengah kekalutan itu, wartawan Harian Metro, Amir Abdul Hamid bersama rakan wartawan lain bertungkus-lumus membawakan perkembangan dan berita dari lokasi ‘ground zero’ terbabit.

Amir berkata, pada pagi Sabtu 6 Disember 2008, dia ketika itu sudah dalam perjalanan pulang ke Perak sempena cuti Hari Raya Aidiladha yang jatuh pada 8 Disember.

Namun, ketika memandu pulang ke kampung, dia menerima panggilan daripada Ketua Pengarang Berita Harian Metro (CNE) ketika itu, Sharifuddin Mohamed yang mengarahkannya supaya segera ke Bukit Antarabangsa bagi membuat liputan tragedi tanah runtuh.

“Kau pergi Bukit Antarabangsa, tunggu sana sampai habis,” begitulah antara arahan yang masih saya ingat sehingga hari ini.

“Saya ditugaskan sebagai wartawan tambahan untuk membantu pasukan edisi hujung minggu atau Metro Ahad yang ketika itu diketuai Johari Mohamad,” katanya.

Menurutnya, dia kemudian menghubungi ibunya, Hanifah Mohamed Zan di Kampung Air Papan, Tanjung Tualang, Perak bagi memaklumkan bahawa dia tidak dapat pulang ke kampung kerana perlu menjalankan tugasan di lokasi bencana.

“Saya kemudian patah balik ke rumah di Petaling Jaya untuk menukar kenderaan kepada motosikal kerana sudah menjangkakan kesesakan lalu lintas yang teruk menuju ke kawasan tanah runtuh,” katanya.

Dia berkata, jangkaannya tepat apabila laluan masuk ke kawasan berkenaan sudah sesak dengan kenderaan penduduk yang diarahkan mengosongkan rumah bagi memberi laluan kepada operasi mencari dan menyelamat (SAR).

Katanya, operasi SAR ketika itu membabitkan 14 pasukan termasuk Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Persatuan Bulan Sabit Merah (PBSM), Jabatan Pertahanan Awam (JPA3) (kini dikenali Angkatan Pertahanan Awam Malaysia atau APM), Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART), St John Ambulans, Hospital Kuala Lumpur (HKL) dan Hospital Ampang.

Amir berkata, tanah runtuh itu membabitkan kawasan seluas empat hektar dengan radius kemusnahan kira-kira satu kilometer di Taman Bukit Mewah dan Taman Bukit Utama sehingga menyebabkan laluan utama terputus serta ribuan penduduk terperangkap.

Menurutnya, antara 3,000 hingga 5,000 penduduk dipindahkan ke kawasan selamat termasuk di Sekolah Kebangsaan Hulu Kelang.

“Dalam tragedi jam 3.30 pagi itu, empat penduduk maut manakala 14 lagi cedera selepas 14 banglo tertimbus akibat tanah runtuh,” katanya.

Amir berkata, perkara pertama yang dilakukannya sebaik tiba di lokasi ialah mencari markas operasi SAR bagi mendapatkan gambaran awal kejadian termasuk peta kawasan bencana, jumlah mangsa dan perkembangan operasi.

Katanya, sebaik melihat sendiri keadaan di lokasi, dia sukar membayangkan detik cemas yang dilalui penduduk apabila banglo yang kukuh kelihatan seolah-olah ditelan bumi akibat runtuhan besar itu.

Menurutnya, tragedi itu berlaku hanya lima hari sebelum ulang tahun ke-15 tragedi Highland Towers yang menggemparkan negara pada 11 Disember 1993 dengan lokasi runtuhan kali ini hanya kira-kira 1.5 kilometer dari tempat tragedi berkenaan.

Selain membuat liputan mangsa dan perkembangan operasi SAR, beliau bersama wartawan lain turut bersiap siaga membuat liputan kehadiran pemimpin negara yang turun meninjau lokasi.

Antara yang berkenan berangkat ke lokasi ialah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah.

Turut hadir ialah Perdana Menteri ketika itu, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Timbalan Perdana Menteri waktu itu, Datuk Seri Najib Razak.

Amir berkata, kerjasama erat antara wartawan di lapangan dengan penyelarasan daripada pejabat Balai Berita Bangsar memastikan setiap perkembangan dapat disampaikan kepada pembaca dengan tepat dan menyeluruh.

“Antara detik yang paling mendebarkan ialah apabila Ketua Polis Negara ketika itu, Tan Sri Musa Hassan memaklumkan dalam sidang media bahawa pasukan penyelamat berjaya mengesan kedudukan mangsa yang dipercayai masih hidup menggunakan unit anjing pengesan serta peralatan elektronik.

“Pasukan Gerakan Am (PGA) pula dikerahkan mengawal semua kawasan perumahan yang dikosongkan bagi mengelakkan sebarang pencerobohan dan memastikan keselamatan harta benda penduduk,” katanya.

Dia berkata, pengalaman membuat liputan bencana itu membuatkan dirinya lebih menghargai pengorbanan semua anggota penyelamat termasuk Angkatan Tentera Malaysia (ATM) yang membina laluan alternatif serta jambatan taktikal bagi membolehkan penduduk keluar selepas jalan utama terputus.

Menurutnya, kepantasan pasukan SAR turut menyelamatkan seorang wanita sarat mengandung dan seorang pesakit jantung yang diterbangkan ke HKL menggunakan helikopter kerana keadaan tanah yang masih tidak stabil.

“Apapun, sayu di hati apabila melihat ratusan jemaah menunaikan solat sunat Hari Raya Aidiladha di masjid yang masih dalam pembinaan di Bukit Utama dua hari selepas tragedi itu tetap saya rasai.

“Bukan sekadar sebagai wartawan, tetapi sebagai insan yang menyedari bahawa setiap ujian akhirnya mengingatkan kita kepada pertolongan Allah SWT,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top