Seorang suspek ditahan bersama syabu di Hat Yai ada 9 rekod dadah, jenayah

Seorang suspek ditahan bersama syabu di Hat Yai ada 9 rekod dadah, jenayah

suharmin.yusuf@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Seorang daripada tiga rakyat Malaysia yang ditahan pihak berkuasa Thailand selepas cuba membawa masuk 87 kilogram (kg) syabu bernilai kira-kira RM4.3 juta didapati mempunyai sembilan rekod lampau berkaitan dadah dan jenayah.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman Datuk Hussein Omar Khan berkata, pihaknya mengesahkan ada menerima makluman daripada Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik (ONCB) Thailand berhubung tangkapan tiga lelaki terbabit di Hat Yai pada Jumaat lalu.

“Disahkan, pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) sudah terima pemakluman daripada ONCB Thailand berkaitan tangkapan tiga rakyat Malaysia di Hat Yai pada pagi 31 Julai lalu.

“Tangkapan dibuat di atas kereta api ekspres Bangkok-Narathiwat, Sungai Golok sewaktu pemeriksaan keselamatan ke atas penumpang dan barangan dalam tren,” katanya kepada Harian Metro.

Hussein berkata, semakan mendapati seorang suspek berusia 35 tahun berasal dari Sarawak mempunyai sembilan rekod di Malaysia membabitkan kes dadah dan jenayah.

“Seorang lagi lelaki yang beusia 36 tahun mempunyai satu rekod dadah, manakala lelaki berusia 32 tahun mempunyai dua rekod berkaitan dadah,” katanya.

Menurutnya, dadah berkenaan dipercayai untuk dibawa masuk ke Malaysia dan JSJN akan menyiasat rangkaian sindiket terbabit di negara ini.

Terdahulu Harian Metro melaporkan, tiga rakyat Malaysia yang menaiki kereta api dari Bangkok ke Hat Yai ditahan polis Thailand selepas 87 kilogram (kg) syabu bernilai kira-kira RM4.3 juta ditemui disembunyikan dalam bagasi mereka hari ini.

Jurucakap polis Thailand berkata, ketiga-tiga suspek ditahan di Stesen Hat Yai dalam satu operasi bersama membabitkan unit pencegahan narkotik polis Hat Yai, pasukan polis kereta api, polis pelancong dan Pejabat Lembaga Kawalan Narkotik Wilayah 9.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top