Peluang tembusi pasaran antarabangsa, muzik kini tiada sempadan bahasa – Yusry Abd Halim

Peluang tembusi pasaran antarabangsa, muzik kini tiada sempadan bahasa – Yusry Abd Halim

PETALING JAYA: Penyanyi dan komposer, Datuk Yusry Abdul Halim melihat penyertaannya dalam platform pembangunan artis, Launchpad sebagai langkah strategik untuk memperluaskan pasaran muzik ke peringkat serantau, selain menarik kelompok pendengar generasi baharu.

Yusry, 53, berkata, meskipun dia merupakan antara artis paling berpengalaman dalam barisan persembahan Launchpad, platform berkenaan mampu merapatkan jurang antara artis lama dan bakat baharu.

Menurutnya, penyertaan bersama kumpulan KIIRAS dari Korea Selatan dan UPRIZE dari Vietnam bukan sekadar persembahan biasa, sebaliknya membuka peluang untuk berkongsi muzik dengan khalayak yang lebih luas.

“Ramai mungkin tertanya-tanya mengapa saya yang sudah 34 tahun berada dalam industri masih menyertai platform seperti ini.

“Namun saya melihatnya dari sudut positif kerana Launchpad mempunyai perancangan untuk berkembang ke luar negara. Ia satu inisiatif yang baik bagi memperkenalkan muzik kita kepada pasaran serantau,” katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Launchpad di sini, semalam.

Mengulas mengenai potensi industri muzik Asia Tenggara, Yusry berpendapat sudah tiba masanya rantau ini dilihat sebagai satu pasaran besar tanpa dibatasi perbezaan bahasa dan budaya.

Katanya, kejayaan industri muzik Korea membuktikan bahasa bukan lagi penghalang untuk sesebuah karya diterima di peringkat antarabangsa.

“Anak-anak saya sendiri tidak memahami bahasa Korea, tetapi tetap meminati lagu-lagunya.

“Generasi hari ini menerima muzik sebagai sesuatu yang bersifat universal. Mereka tidak semestinya memahami setiap perkataan, sebaliknya menghayati muzik itu sendiri,” katanya.

Dalam pada itu, Yusry mengakui pada peringkat awal beliau sendiri tertanya-tanya sama ada konsep Launchpad benar-benar sesuai dengan dirinya.

Bagaimanapun, selepas memahami objektif platform berkenaan, beliau yakin kolaborasi bersama bakat muda mampu memperkenalkan muziknya kepada kelompok pendengar baharu.

“Sebagai penyanyi, kita perlu terus berkembang. Jika hanya bergantung kepada peminat sedia ada, mereka akan meningkat usia dan akhirnya siapa pula yang akan menjadi pendengar generasi seterusnya?

“Kalau saya dapat menarik walaupun satu peratus daripada penonton muda untuk mengenali muzik saya, itu sudah menjadi permulaan yang baik,” katanya.

Launchpad merupakan platform pembangunan artis yang direka untuk mempercepatkan perkembangan bakat baharu di peringkat serantau dengan menghubungkan mereka secara langsung kepada penonton, media, jenama dan pemain industri di seluruh Asia Tenggara.

Platform milik Fast Track Entertainment (FTE) dari Singapura itu dijalankan dengan kerjasama Sony Music Malaysia serta disokong penghasilan kandungan digital asli, pendedahan media serantau dan kerjasama strategik bersama pelbagai jenama bagi membuka peluang komersial baharu serta memperkukuh pembangunan kerjaya artis dalam jangka panjang.

Scroll to Top