am@hmetro.com.my
Miri: Hanya kerana menekan pautan iklan tempahan makanan di laman media sosial, seorang lelaki tempatan kerugian RM12,790 dalam tempoh singkat selepas wang dalam akaun banknya dipindahkan ke akaun tidak dikenali dipercayai akibat sindiket penipuan dalam talian.
Ketua Polis Daerah Miri, Asisten Komisioner Mohd Farhan Lee berkata, mangsa pada mulanya melayari laman media sosial sebelum tertarik dengan iklan tempahan makanan dan menekan pautan yang disediakan bagi membuat pesanan.
Menurutnya, sebaik sahaja pautan itu diakses, telefon bimbit mangsa tiba-tiba menjadi gelap dan tidak lagi dapat digunakan seperti biasa, sekali gus menimbulkan rasa curiga.
“Selepas itu mangsa membuat semakan dengan pihak bank dan mendapati berlaku empat transaksi pindahan wang daripada akaun miliknya ke beberapa akaun bank yang tidak dikenali membabitkan jumlah keseluruhan RM12,790.
“Susulan kejadian itu, mangsa tampil membuat laporan polis dan siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian, kaedah digunakan suspek serta aliran wang yang dipindahkan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, kes itu sekali lagi membuktikan sindiket jenayah siber kini menggunakan pelbagai helah termasuk menyamar sebagai iklan jualan atau tempahan makanan bagi memperdaya orang ramai supaya menekan pautan yang mengandungi perisian berbahaya.
Katanya, orang ramai dinasihatkan supaya tidak sewenang-wenangnya menekan pautan diterima melalui iklan, mesej atau media sosial yang tidak dapat disahkan kesahihannya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



