suharmin.yusuf@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Polis Diraja Malaysia (PDRM) merekodkan 46 kes kemalangan jalan raya membabitkan penunggang motosikal sepanjang empat hari program RXZ Members 8.0, dengan 11 daripadanya adalah kemalangan maut.
Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) Bukit Aman, Datuk Seri Muhammed Hasbullah Ali berkata, kes itu direkodkan sepanjang tempoh bermula Khamis lalu hingga kelmarin.
Daripada jumlah itu, katanya, sebanyak 11 kes atau 23.91 peratus membabitkan kemalangan maut, lima kes atau 10.87 peratus adalah kemalangan parah, manakala 30 kes atau 65.22 peratus membabitkan kemalangan ringan.
“Mengikut pecahan harian, sebanyak empat kes direkodkan pada 30 Julai lalu, 16 kes pada 31 Julai lalu, 11 kes pada 1 Ogos lalu dan 15 kes pada 2 Ogos lalu.
“Analisis profil umur mendapati golongan berusia antara 21 hingga 30 tahun mencatatkan pembabitan tertinggi, iaitu sebanyak 19 orang atau 41.30 peratus.
“Ini diikuti kumpulan umur 18 hingga 20 tahun sebanyak 10 orang, kumpulan usia 41 hingga 50 tahun sebanyak sembilan orang dan kumpulan usia 31 hingga 40 tahun sebanyak lapan orang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, beliau berkata, majoriti yang terbabit adalah lelaki, iaitu 44 orang atau 95.65 peratus, manakala dua orang atau 4.35 peratus adalah perempuan.
Menurutnya, kemalangan langgar belakang merekodkan jumlah tertinggi, iaitu 21 kes, diikuti terbabas sendiri sebanyak 15 kes, langgar sebelah tepi (tujuh kes) dan bergesel (tiga kes).
“Daripada keseluruhan kes yang direkodkan, sebanyak 11 kes kemalangan maut disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987, manakala lima kes kemalangan parah disiasat di bawah Seksyen 43(1) akta yang sama.
“Kes kemalangan ringan pula disiasat mengikut peruntukan kaedah-kaedah lalu lintas yang berkaitan,” katanya.
Dalam perkembangan sama, Hasbullah berkata, pihaknya memandang serius jumlah kemalangan maut dan parah yang berlaku, khususnya membabitkan penunggang motosikal daripada golongan muda.
Katanya, antara punca kemalangan yang dikenal pasti ialah kecuaian, gagal mengawal kenderaan, mengekori kenderaan lain terlalu rapat serta menunggang secara tidak selamat sehingga membahayakan diri sendiri dan pengguna jalan raya lain.
Dalam pada itu, katanya, penganjur program bermotosikal disaran menyediakan pelan pergerakan teratur, memberi taklimat keselamatan dan bekerjasama dengan pihak berkuasa bagi mengurangkan risiko kemalangan.
“JSPT akan terus meningkatkan pemantauan dan penguatkuasaan terhadap kesalahan lalu lintas yang boleh membahayakan pengguna jalan raya. Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana individu yang didapati melanggar undang-undang atau menunggang secara berbahaya.
“Jangan jadikan keseronokan dan keterujaan menyertai sesuatu program sebagai alasan untuk mengabaikan keselamatan diri serta pengguna jalan raya yang lain,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




