saifulaffendy@hmetro.com.my
Sepang: Kejayaan kontinjen negara membawa pulang lapan pingat emas, tiga perak dan lima gangsa pada Sukan Komanwel Glasgow 2026 turut disusuli ganjaran keseluruhan berjumlah RM1.1 juta menerusi Skim Hadiah Kemenangan Atlet Malaysia (SHAKAM).
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari berkata, ganjaran itu sebagai tanda penghargaan kerajaan kepada atlet yang berjaya menghadiahkan pingat buat negara di temasya berkenaan.
Katanya, pemberian insentif itu dibuat mengikut warna pingat yang dimenangi atlet, selain imbuhan tambahan kepada mereka yang berjaya memecahkan rekod temasya.
“Bagi SHAKAM, kita memberikan ganjaran mengikut warna pingat iaitu RM80,000 untuk emas dan jika atlet memecahkan rekod temasya, mereka menerima tambahan RM10,000.
“Bagi pemenang pingat perak pula ganjarannya RM40,000, manakala pingat gangsa menerima RM20,000,” katanya ketika menyambut kepulangan kontinjen negara di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), hari ini.
Pencapaian di Glasgow, Malaysia menyaksikan kontinjen negara melepasi sasaran awal lima pingat emas yang ditetapkan.
Mengulas lanjut, Taufiq berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menerusi Majlis Sukan Negara (MSN) kini sedang meneliti cadangan untuk menambah baik kadar ganjaran SHAKAM pada masa depan.
Katanya, usaha itu bertujuan memastikan skim berkenaan kekal relevan sebagai suntikan motivasi kepada atlet negara untuk terus memburu kejayaan di pentas antarabangsa.
“Di peringkat MSN, kita sedang berbincang mengenai cadangan meningkatkan kadar SHAKAM dan sudah tentu ia memerlukan penelitian serta sokongan bukan sahaja daripada kerajaan, malah sektor korporat,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




