'Sorok status perkahwinan di Indonesia', Nora terkenang pengalaman lucu promosi album

'Sorok status perkahwinan di Indonesia', Nora terkenang pengalaman lucu promosi album

norhayati_nordin@hmetro.com.my

Kuala Lumpur : Penyanyi, Datuk Nora Ariffin, 53, berkongsi pengalamannya pernah menyorok status perkahwinan dengan suami Allahyarham Johan Nawawi ketika promosi album pertama, Sandiwara pada 1994 di Indonesia.

Menurut Nora, beliau yang ketika itu melangkah kaki ke dalam industri dengan gelaran isteri dan ibu memahami keadaan dihadapi segelintir artis apabila terpaksa sembunyikan status sebenar.

“Saya adalah antara artis yang mencipta nama selepas berumah tangga dan pada masa itu, kita kena sorok (status) pula. Sebab nanti, kalau sudah kahwin tidak laku.

“Tetapi, saya adalah artis yang terang-terang orang kata ‘declare’ (mengisytiharkan) kita berkahwin dan kita bangga jadi anak muda yang menyanyi, namun sudah bersuami dan ada anak.

“Paling kelakar sekali lagu Di Persimpangan Dilema itu dan album Sandiwara saya sangat besar di Indonesia. Apa yang saya tidak dapat lupa sampai sekarang, bila saya pergi ke sana (Indonesia) untuk promosi (album), saya diminta ‘menipu’ status saya.

“Jangan cakap sudah berkahwin, sebab takut nanti orang tidak terima. Ketika itu pula, saya pergi (ke Indonesia) dengan suami. Jadi bila ditanya sudah kahwin ke belum?, saya sukar nak jawab sebab status kena rahsia,” katanya.

Terdahulu, Nora hadir menjadi tetamu jemputan program Malaysia Hari Ini (MHI) disiarkan TV3, yang membicarakan pengalaman lucu ketika beliau mula-mula bergelar anak seni.

Ujar Nora, bagaimanapun arwah suaminya ketika itu sangat memahami situasi dialami sebagai penyanyi baharu yang hendak menempa nama dan perlu bertindak sedemikian (sorok status) atas sebab ‘terpaksa’.

Jelasnya lagi, apapun realiti sebenar ialah beliau sentiasa berasa bangga dengan status dirinya sebagai isteri dan ibu sampai sekarang sejak lebih 30 tahun bergelar anak seni secara serius bermula 1991.

Turut bersyukur namanya masih relevan dalam industri, Nora berkata beliau sangat serius dalam kerjaya dan tidak sesekali menjadikannya sebagai batu loncatan semata-mata.

“Bila kita dapat itu (berjaya bina kerjaya dalam industri) dengan bakat sudah diiktiraf, jangan main-main. Ambil serius dan kena selalu ikhlas pada diri kita. Maksudnya, jaga disiplin,

“Alhamdulillah, saya lebih 30 tahun dalam industri, masih tetap anggap diri saya baharu dan bila bekerja mesti kita ‘on time’ (tepati masa), kena sabar dan serius, sebab kita bekerja dengan ramai orang. Jadi, ‘be professional’ (kena profesional).

“Insya-Allah, bila kita pegang prinsip itu tidak kiralah 20 tahun lagi ke, atau sampai bila-bila kita tetap masih di sini (dalam industri). Apapun, insya-Allah semua itu tetap bergantung pada rezeki juga,” katanya.

Untuk rekod, Nora yang juga ibu kepada empat cahaya mata mula menceburi bidang nyanyian sejak usia belasan tahun dan pernah dinobatkan juara Bintang HMI terbitan Radio Televisyen Malaysia (RTM) pada 1991.

Mengenai perkembangan karier nyanyiannya pula, Nora turut berkongsi bakal muncul dengan lagu solo baharu, namun masih dalam perancangan teliti untuk masa sesuai dilancarkan kepada pendengar.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top