redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Kangsar: Biarpun menyarung seragam pengawal keselamatan, pemuda ini tidak ‘kosong’ kerana memiliki kelulusan Diploma Perniagaan Tani, lulusan Kolej Profesional Majlis Amanah Rakyat (MARA) Beranang, Selangor.
Bukan setakat itu, Ahmad Aslam Mohamad Ali, 30, juga pernah mengikuti program pembangunan keupayaan kepimpinan dalam teknologi pertanian pemuliharaan alam sekitar di pusat latihan di Fukuoka, Jepun bermula 2019 hingga 2020.
Bagaimanapun, cabaran dilalui sebagai usahawan pertanian (sayur-sayuran) dan penternakan lembu juga kambing sebelum ini mendorong Ahmad Aslam berehat seketika dalam bidang keusahawanan bagi menceburi dunia baharu, iaitu dengan bekerja sebagai pengawal keselamatan.
Menceritakan kisahnya, Ahmad Aslam berkata, dia tidak pernah terfikir akan mencari rezeki sebagai pengawal keselamatan kerana tiada pengalaman dan sekadar menghadiri temu duga kerja untuk mencuba.
“Tapi tak sangka saya diterima bekerja dan mula bertugas sejak bulan lalu… kiranya baru sebulan saya bekerja sebagai pengawal keselamatan di sebuah premis komersial.
“Alhamdulillah, saya dapat sesuaikan diri dan seronok kerana ia ibarat pengalaman sekali dalam seumur hidup.
“Isteri tak menghalang kerana tahu niat saya bekerja untuk mencari nafkah buatnya dan dua anak kami,” katanya kepada Harian Metro.
Berkongsi rutin hariannya, Ahmad Aslam berkata, dia bekerja setiap hari dalam dua syif, iaitu seawal 7 pagi pada sebelah siang dan 7 malam.
Katanya, tugasan hariannya adalah membuat rondaan selain mencatat masa ketika meronda di satu kawasan (clocking), juga membuat laporan.
“Baru sebulan tapi urusan kerja berjalan lancar dan dipermudahkan.
“Setakat ini, tak ada pula yang merendahkan pilihan saya bekerja sebagai pengawal keselamatan dan sebenarnya, ramai kawan yang tak tahu.
“Tapi apa yang saya belajar adalah realiti sebenar kerjaya sebagai pengawal keselamatan yang tak mudah kerana menuntut disiplin juga pengorbanan daripada segi masa dan tenaga.
“Saya ada berkongsi juga pengalaman menerusi perkongsian video di TikTok… pada masa sama, saya kongsi video makan hidangan dibekalkan isteri dari rumah sebagai tanda menghargai pasangan,” katanya.
Menurut Ahmad Aslam, dia belum bersara daripada dunia keusahawanan terutama dalam bidang pertanian dan penternakan kerana syarikatnya masih ada.
“Cuma buat masa sekarang, adik bantu uruskan syarikat dan saya pula fokus dengan kerja sebagai pengawal keselamatan.
“Walaupun kerjaya sekarang di luar bidang saya, saya tetap nak lakukan yang terbaik… kerja kena ikhlas dan niat kerana Allah SWT.
“Andai ada rezeki, saya akan kembali dalam bidang keusahawanan dan bercadang menjalankan projek kelulut seterusnya berkongsi manfaatnya dengan komuniti. Insya-Allah dalam tahun ini jika tiada halangan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




