hidayah.tanzizi@hmetro.com.my
Subang Jaya: Mayat seorang wanita warga Indonesia ditemukan dalam keadaan lengkap berpakaian di Sungai Klang berhampiran sebuah kilang di USJ 1, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung penemuan mayat berkenaan daripada orang awam pada 12.58 tengah hari semalam.
Katanya, hasil siasatan awal di lokasi mendapati mayat wanita itu ditemukan dalam keadaan muka yang sudah hancur, manakala kulit tangan dan kaki sudah menggelupas.
“Wanita itu ditemukan dalam keadaan lengkap berpakaian, memakai jaket kuning serta seluar jeans berwarna cerah.
“Pemeriksaan lanjut menemukan sebuah beg silang yang mengandungi e-KTP (Kartu Tanda Penduduk Elektronik) dan gambarnya. Wanita itu adalah warga Indonesia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, mayat dihantar ke Unit Forensik Hospital Serdang untuk proses bedah siasat bagi mengenal pasti punca kematian.
Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) susulan tiada unsur jenayah ditemukan pada mangsa setakat ini.
Wan Azlan berkata, polis menyeru orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian ini atau kehilangan ahli keluarga supaya tampil menghubungi Balai Polis USJ 8 di talian 03-7862 7222 bagi membantu siasatan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




