'Pembunuh itu sangat kejam'

'Pembunuh itu sangat kejam'

am@hmetro.com.my

Johor Bahru: “Polis menghubungi kami selepas jam 10 malam semalam, namun hanya mengesahkan mayat yang ditemukan di sungai di Batu Pahat adalah abang ipar saya sebaik kami tiba di hospital,” kata seorang lelaki yang hanya mahu dikenali sebagai Hui.

Hui berkata, dia sama sekali tidak menyangka pengakhiran hidup abang iparnya, Low Kai Xian, 39, begitu menyayat hati selepas kira-kira seminggu dilaporkan hilang.

“Ia memang suami kakak saya… pembunuh itu amat kejam. Proses bedah siasat sudah dijalankan tengah hari tadi.

“Kami berterima kasih kepada semua pihak yang membantu sepanjang tempoh kehilangan abang ipar. Bagaimanapun, buat masa ini keluarga belum bersedia untuk ditemu bual,” katanya ketika dihubungi.

Menurutnya, keluarganya kini dalam proses membawa pulang mendiang Low ke sebuah taman peringatan di Skudai yang dijangka dilakukan malam ini.

Pada 31 Julai lalu, akhbar ini melaporkan dakwaan isteri ahli perniagaan itu yang hanya mahu dikenali sebagai Chan, 32, bahawa suaminya hilang sejak 29 Julai lalu.

Hanya kenderaan pelbagai guna (MPV) milik Low yang juga bapa kepada dua cahaya mata ditemukan berhampiran sebuah bangunan pusat beli-belah di Skudai pada 30 Julai lalu, iaitu sehari selepas dia dilaporkan hilang.

Kali terakhir isteri Low berhubung dengannya adalah pada tengah hari 29 Julai lalu, namun ketika itu suaminya tidak menunjukkan sebarang perubahan.

Low memaklumkan dia masih menunggu seseorang di sebuah kedai makan di Taman Sutera, Skudai.

Sebelum ini, keluarga berkenaan turut menawarkan ganjaran RM5,000 kepada orang ramai yang menyalurkan maklumat tepat bagi membantu mengesan Low.

Semalam, tular di media sosial mengenai penemuan mayat seorang lelaki yang disyaki mangsa bunuh, terapung dalam keadaan tubuhnya sudah kembung dan dibalut jaring di Sungai Tanjung Sembrong, Parit Raja di Batu Pahat.

Mayat itu ditemukan penduduk yang pada mulanya menyangka objek berkenaan ialah bangkai haiwan sebelum menghubungi polis untuk tindakan lanjut.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top