Rasuk kayu dimakan anai-anai punca rumah kedai warisan runtuh

Rasuk kayu dimakan anai-anai punca rumah kedai warisan runtuh

am@hmetro.com.my

Georgetown: Punca kejadian runtuhan struktur sebuah rumah kedai warisan di Lebuh Armenian di sini, hari ini, dikenal pasti akibat rasuk kayu yang dimakan anai-anai.

Kejadian itu menyebabkan dua pelancong warga Sri Lanka berusia 55 dan 66 tahun cedera terkena serpihannya.

Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan dan Perancangan Bandar dan Desa negeri, Jason H’ng Mooi Lye berkata, pemeriksaan mendapati rasuk kayu bangunan itu rosak akibat serangan anai-anai sebelum runtuh.

Katanya, walaupun penyelenggaraan bangunan adalah tanggungjawab pemilik, pihaknya sudah meminta Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengambil inisiatif menjalankan kawalan makhluk perosak di kawasan berkenaan.

“Kawasan itu berstatus tapak warisan, namun bangunan masih dimiliki pihak swasta, pemilik perlu bertanggungjawab terhadap penyelenggaraan bangunan masing-masing.

“Saya meminta pihak berkuasa tempatan (PBT) mengambil inisiatif melaksanakan kawalan anai-anai walaupun ia tanggungjawab pemilik bangunan kerana kawasan warisan ini lokasi tumpuan pelancong.

“Sehubungan itu, semua pemilik bangunan supaya mendapat khidmat jurutera atau juruukur bangunan secara berkala bagi menjalankan pemeriksaan dan memastikan keadaan struktur bangunan sentiasa berada pada tahap selamat,” katanya di sini, hari ini.

Sebelum ini, Harian Metro melaporkan dua pelancong warga Sri Lanka cedera selepas dihempap runtuhan batu dan kayu daripada bahagian rasuk di tingkat satu sebuah bangunan warisan di Lebuh Armenian.

Mangsa dihantar ke Hospital Pulau Pinang (HPP) bagi mendapatkan rawatan lanjut.

Lebuh Armenian yang terletak dalam kawasan Tapak Warisan Dunia UNESCO antara lokasi terkenal pelancongan berikutan mempunyai nilai sejarah, budaya dan seni jalanan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top