PETALING JAYA: UMNO perlu mengakui kegagalannya dalam aspek tadbir urus Lembaga Tabung Haji (TH) ketika parti itu menerajui kerajaan.
Bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin berkata, perkara itu perlu dilakukan susulan pendedahan laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) berkaitan pengurusan, operasi dan kewangan TH yang mencetuskan semula perdebatan mengenai tadbir urus institusi berkenaan.
Malah katanya, UMNO perlu mengambil sikap terbuka dan jujur terhadap kelemahan yang berlaku dalam pengurusan TH sebelum ini.
“Kalau kita mengakui ada kelemahan dan kegagalan urus tadbir serta tatakelola dalam Tabung Haji, orang akan kata sekurang-kurangnya UMNO adalah sedikit bibit-bibit perubahan, untuk bawa ke arah pemulihan sebab mereka akui.
“Kita tidak boleh menggunakan alasan sedemikian untuk menyembunyikan perkara ini. Apa kelemahan dan kegagalan kerajaan, kita mesti akui,” katanya dalam audio siar Keluar Sekejap malam tadi.
RCI Tabung Haji yang didedahkan kepada umum menerusi portal rasmi Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) pada 29 Julai lalu.
Laporan itu mengandungi pelbagai syor bagi memperkukuh tadbir urus serta menambah baik operasi institusi berkenaan.
Antara dapatan utama RCI ialah TH sepatutnya merekodkan kerugian bersih RM1.4 bilion pada 2017 berbanding keuntungan RM3.4 bilion seperti yang dilaporkan dalam penyata kewangannya.
Suruhanjaya itu turut mengenal pasti beberapa kelemahan tadbir urus, termasuk kuasa menteri yang terlalu luas dalam pelantikan, pertindihan peranan antara ahli lembaga pengarah dan pengurusan kanan, selain pengaruh politik dalam pentadbiran TH. – UTUSAN




