mdroji@bh.com.my
Kuching: Sarawak dilihat tidak semestinya perlu menunggu sehingga penggal Dewan Undangan Negeri (DUN) berakhir untuk mengadakan Pilihan Raya Negeri Ke-13 (PRN-13), sebaliknya jendela paling sesuai adalah sekitar Oktober hingga awal November tahun ini.
Penganalisis sosiopolitik Universiti Malaya, Profesor Datuk Dr. Awang Azman Awang Pawi berkata, tempoh berkenaan lebih munasabah berbanding menangguhkan pilihan raya sehingga Disember atau ke penghujung penggal DUN.
Beliau berkata, setakat 1 Ogos lalu, Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg masih menegaskan bahawa tarikh PRN belum diputuskan, namun perkembangan politik mutakhir menunjukkan persediaan ke arah pilihan raya semakin diperkemaskan.
“Sehari selepas kenyataan Abang Johari, Ketua Penerangan Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah, menyuarakan pandangan peribadi bahawa PRN-13 mungkin diadakan sebelum penghujung tahun, sekali gus memberi isyarat bahawa persiapan politik sedang dipertingkatkan walaupun keputusan rasmi masih di bawah pertimbangan Premier,” katanya.
Awang Azman berkata, faktor pertama yang menjadikan hujung tahun ini sesuai ialah kedudukan Gabungan Parti Sarawak (GPS) yang masih kukuh dari segi organisasi, kepimpinan serta rekod pembangunan negeri.
Beliau berkata, mengadakan PRN ketika GPS berada pada kedudukan dominan membolehkan gabungan itu memperoleh mandat baharu sebelum berlaku perubahan dalam landskap ekonomi, sentimen pengundi atau politik di peringkat Persekutuan.
“GPS ketika ini menguasai hampir keseluruhan kerusi DUN Sarawak. Oleh itu, pilihan raya lebih awal dilihat sebagai usaha memperbaharui mandat rakyat, bukannya bagi menyelamatkan kerajaan,” katanya.
Beliau turut berpandangan bahawa menunggu sehingga penggal DUN tamat tidak semestinya memberikan kelebihan politik tambahan kepada kerajaan negeri.
Katanya, DUN Sarawak semasa mula bersidang pada 14 Februari 2022, sekali gus bermakna tempoh lima tahunnya akan berakhir sekitar 14 Februari 2027, manakala pilihan raya perlu diadakan selewat-lewatnya pada pertengahan April 2027 mengikut peruntukan undang-undang.
“Menunggu sehingga saat akhir hanya memanjangkan ketidaktentuan politik dan berpotensi menyebabkan PRN bertembung dengan perkembangan politik di peringkat Persekutuan atau pilihan raya negeri lain,” katanya.
Mengulas faktor cuaca, Awang Azman berkata, Disember bukan tempoh paling ideal berikutan musim Monsun Timur Laut yang boleh menjejaskan urusan logistik, khususnya di kawasan pedalaman serta penempatan yang bergantung kepada laluan sungai.
Beliau berkata, Oktober atau awal November lebih sesuai kerana keadaan cuaca lazimnya lebih baik, sekali gus memudahkan pergerakan pengundi, petugas pilihan raya serta jentera parti.
Menyentuh cadangan penambahan 17 kerusi DUN daripada 82 kepada 99, beliau berpendapat proses persempadanan semula dijangka sukar diselesaikan dalam tempoh terdekat, justeru menunggu semata-mata bagi menggunakan jumlah kerusi baharu itu tidak menjamin proses berkenaan dapat dimuktamadkan sebelum penggal DUN semasa berakhir.
Sehubungan itu, Awang Azman berpandangan PRN pada Oktober atau awal November 2026 merupakan pilihan paling strategik.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kerajaan negeri tidak perlu tergesa-gesa membuat keputusan hanya kerana kemenangan Barisan Nasional (BN) dalam pilihan raya di Johor dan Negeri Sembilan, sebaliknya tarikh pilihan raya wajar ditentukan berdasarkan kesiapsiagaan calon GPS, penyelesaian agihan kerusi antara parti komponen, faktor cuaca serta kemampuan kerajaan membentangkan rekod pencapaian yang meyakinkan kepada rakyat.
© New Straits Times Press (M) Bhd




