Jangkitan parasit makanan merebak di 45 negeri AS

Jangkitan parasit makanan merebak di 45 negeri AS

WASHINGTON: Pegawai kesihatan Michigan pada Isnin mengesahkan dua kematian pertama dikaitkan dengan penularan wabak cyclospora ketika ini, iaitu sejenis jangkitan parasit yang tersebar menerusi makanan atau air tercemar dan boleh menyebabkan cirit-birit yang teruk.

Pihak berkuasa kesihatan negeri itu memaklumkan, kedua-dua individu berkenaan mempunyai masalah kesihatan sedia ada yang signifikan yang mungkin terjejas akibat jangkitan cyclosporiasis dan dehidrasi.

Menurut Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit (CDC) Amerika Syarikat (AS), penyakit bawaan makanan tersebut kini telah merebak ke 45 buah negeri dengan hampir 7,000 kes disahkan makmal dilaporkan di seluruh negara.

Meskipun wabak itu telah menjangkiti ribuan individu, CDC menjelaskan bahawa kes kematian akibat cyclosporiasis adalah sangat jarang berlaku kerana ia kebiasaannya tidak mengancam nyawa.

Negeri berkenaan kini menjadi pusat epicentrum bagi penularan wabak tersebut dengan rekod menunjukkan lebih 11,000 kes dan 193 kes kemasukan ke hospital dilaporkan, walaupun sebilangan besarnya belum disahkan secara ujian makmal.

Parasit yang gemar kepada persekitaran panas ini menjangkiti bahagian usus dan dipindahkan melalui pencemaran najis. 

Penularan sebelum ini pernah berlaku apabila orang ramai memakan buah-buahan atau sayur-sayuran yang disiram menggunakan air yang tercemar dengan najis.

Pihak berkuasa mengaitkan penularan meluas tahun ini dengan bekalan salad yang diimport dari Taylor Farms di Mexico, iaitu pembekal utama bagi kebanyakan premis makanan di AS.

Sementara itu, rangkaian makanan AS, Taco Bell mengesahkan telah mengeluarkan bekalan salad daripada pihak pembekal itu  daripada menunya. 

Taylor Farms turut mengumumkan penarikan balik secara sukarela bagi bekalan salad yang diperoleh dari  Mexico. – AGENSI

Scroll to Top