MANILA: Gempa bumi berukuran 6.3 skala Richter melanda perairan selatan Filipina hari ini, menurut Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS).
Menurut USGS, gempa itu berlaku kira-kira 32 kilometer barat daya pulau kecil Sarangani pada pukul 12.14 tengah hari waktu tempatan. Tiada amaran tsunami dikeluarkan dan setakat ini tiada laporan mengenai kematian atau kerosakan.
Penyelamat di Pulau Sarangani, Harly Sauro, memberitahu AFP gempa berlaku ketika orang ramai berkumpul untuk menerima bantuan kewangan daripada kerajaan.
“Gegaran agak kuat. Saya nampak orang ramai panik. Mereka berlari dan menjerit. Gempa berlaku ketika kerajaan tempatan sedang mengagihkan bantuan kewangan, jadi ramai orang berada di gelanggang, tetapi semua selamat.
“Berdasarkan penilaian dan pengalaman kami, kami tidak menjangka akan berlaku kematian atau kerosakan,” katanya.
Pusat Amaran Tsunami Pasifik merekodkan gempa bumi pada Rabu pada kedalaman 62 kilometer.
Gempa berkenaan berlaku susulan gegaran kuat pada 8 Jun lalu yang meruntuhkan bangunan, mencetuskan tanah runtuh dan mengorbankan sekurang-kurangnya 76 orang di pulau berdekatan, Mindanao.
Gempa tersebut berpunca daripada pergerakan Palung Cotabato yang menyebabkan dasar laut terangkat sehingga dua meter (6.6 kaki), mendedahkan terumbu karang serta menjejaskan hidupan marin.
Gempa bumi hampir berlaku setiap hari di Filipina kerana negara itu terletak di kawasan Lingkaran Api Pasifik, iaitu jalur aktiviti seismik tinggi yang merentasi Jepun, Asia Tenggara dan lembangan Pasifik.- AFP




