10 kru bot nelayan warga asing, bekerja tanpa dokumen

10 kru bot nelayan warga asing, bekerja tanpa dokumen

am@hmetro.com.my

Kota Kinabalu: Seramai 10 kru bot nelayan warga asing ditahan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) selepas dikesan bekerja tanpa dokumen pengenalan diri yang sah, selain bot dinaiki mereka menggunakan lesen perikanan yang sudah tamat tempoh di perairan Pulau Tiga, semalam.

Bot nelayan tempatan itu ditahan dalam operasi penguatkuasaan kira-kira jam 5.36 petang di kedudukan dua batu nautika tenggara Pulau Tiga sebelum diiring ke Jeti Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

Pengarah Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan, Laksamana Pertama Maritim Mohd Khairulanuar Abd Majid @ Razali berkata, hasil pemeriksaan mendapati bot berkenaan dikendalikan 10 kru termasuk nakhoda membabitkan sembilan warga Filipina dan seorang warga Indonesia berusia antara 23 hingga 53 tahun.

“Pemeriksaan lanjut mendapati semua kru gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah seperti dikehendaki mengikut Akta Imigresen 1959/63.

“Selain itu, bot berkenaan turut disyaki beroperasi menggunakan lesen perikanan yang telah tamat tempoh, sekali gus melakukan kesalahan mengikut Akta Perikanan 1985,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, semua kru bersama bot berkenaan kemudian ditahan dan diiring ke Jeti Maritim Malaysia untuk siasatan lanjut.

“Nilai keseluruhan rampasan termasuk bot nelayan itu dianggarkan hampir RM300,000,” katanya.

Mohd Khairulanuar berkata, Maritim Malaysia memandang serius setiap pelanggaran undang-undang di perairan negara dan akan terus memperhebat rondaan serta operasi penguatkuasaan tanpa sebarang kompromi.

Katanya, semua pemilik vesel, pengusaha dan kru diingatkan supaya memastikan lesen perikanan, permit operasi serta dokumen pengenalan diri sentiasa sah dan masih berkuat kuasa sebelum menjalankan sebarang aktiviti di laut.

“Kegagalan mematuhi syarat yang ditetapkan bukan sahaja satu kesalahan di sisi undang-undang, malah boleh menyebabkan vesel ditahan serta kru ditangkap dan didakwa mengikut peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

“Jangan sesekali memandang ringan pematuhan terhadap undang-undang. Maritim Malaysia tidak akan bertolak ansur terhadap mana-mana pihak yang melanggar peraturan atau cuba mengambil kesempatan di perairan negara,” katanya.

Beliau berkata, tindakan tegas akan terus diambil bagi memastikan keselamatan perairan negara, melindungi sumber perikanan serta mengekalkan kedaulatan Zon Maritim Malaysia.

“Orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan jenayah atau kecemasan di laut boleh menghubungi Pusat Operasi Maritim Negeri Sabah dan Wilayah Persekutuan Labuan di talian 088-387774 atau talian kecemasan 999 untuk tindakan segera.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top