Kamal Azizi wajar diberi peluang sertai Harimau Malaya

Kamal Azizi wajar diberi peluang sertai Harimau Malaya

firdaushashim@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Prestasi konsisten dipamerkan pertahanan Kuala Lumpur (KL) City, Kamal Azizi sejak beberapa musim lalu dilihat sudah cukup untuk melayakkannya dipertimbangkan menyarung jersi Harimau Malaya pada masa depan.

Presiden Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA), Syed Yazid Syed Omar berkata, pemain itu menunjukkan peningkatan memberangsangkan selain berkembang menjadi antara pertahanan tempatan paling konsisten dalam saingan Liga Malaysia (Liga M).

Menurutnya, kemampuan Kamal bukan lagi sekadar berpotensi, sebaliknya sudah membuktikan dia mampu memikul tanggungjawab besar bersama KL City.

“Saya juga merasakan Kamal Azizi sudah membuktikan dia layak berada dalam perbincangan untuk pasukan kebangsaan. Dia berkembang menjadi antara pertahanan tempatan paling boleh diharapkan dalam liga dan mempamerkan kematangan tinggi bersama KL City.

“Jika pemilihan dibuat berdasarkan prestasi semasa dan konsistensi, Kamal sememangnya wajar diberi perhatian kerana dia sudah menunjukkan kemampuan untuk bersaing di peringkat itu,” katanya.

Syed Yazid berkata, pemilihan pemain kebangsaan sewajarnya berlandaskan prestasi semasa dan bukan hanya reputasi, bagi memastikan setiap pemain yang menunjukkan peningkatan diberi peluang membuktikan kemampuan di pentas antarabangsa.

Beliau percaya pendedahan bersama skuad Harimau Malaya mampu membantu Kamal terus berkembang, sekali gus menambah pilihan berkualiti di bahagian pertahanan negara.

Prestasi cemerlang Kamal bersama KL City musim ini menyaksikannya muncul antara tonggak utama pasukan, sekali gus meletakkan namanya dalam kalangan pemain tempatan yang semakin mendapat perhatian pemerhati bola sepak tanah air.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top